Polis Kelantan harap unit K9 ditambah

Iklan
Shafien (kanan) menyaksikan perarakan Unit K9 semasa merasmikan Majlis Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Negara di Rantau Panjang pada Khamis.

RANTAU PANJANG - Polis Kelantan berharap kerajaan dapat menambah Unit Anjing Pengesan (K9) dalam memperkukuhkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, setakat ini pihaknya mempunyai tiga ekor anjing yang melaksanakan tugas mengesan dadah, jenayah dan bom di seluruh negeri.

Iklan
Iklan

"Kita amat perlukan kepakaran Unit K9 dalam membanteras aktiviti penyeludupan memandangkan sifat penyeludup yang akan mencari pelbagai idea untuk menyembunyikan barangan (salah) yang dibawa.

"Kalau dapat banyak (anjing) lagi baik dan kita boleh gunakan untuk penugasan di sempadan-sempadan negeri seperti Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Negara di Rantau Panjang pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Deputi Komisioner Muhammad Abd Halim dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Dalam pada itu beliau mengharapkan pucuk pimpinan tertinggi kerajaan dapat memberikan keutamaan kepada negeri-negeri sempadan berkait dengan perkara tersebut.

Iklan

Katanya, kehadiran unit itu telah banyak membantu kejayaan pasukan dalam membanteras pelbagai aktiviti jenayah.

Mengulas mengenai kehadiran unit berkuda dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam membantu mengawal sempadan, Shafien berkata, unit berkenaan akan memulakan tugasan secara rasmi pada Jumaat.

"Sebanyak enam ekor kuda akan memulakan tugas mereka di sini. Untuk makluman unit berkenaan sudah mengenal pasti laluan rondaan mereka," katanya.

Sementara itu Siti Zailah berkata, hasrat Polis Kelantan itu akan dipanjangkan kepada kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Saya melihat ia sebagai satu keperluan dalam mengukuhkan lagi kawalan sempadan negara," katanya