myPTPTN: Mudah, cepat dan selamat

Iklan
Tiga langkah mudah untuk memuat turun aplikasi myPTPTN

Adanya aplikasi yang integrasikan semua kemudahan dalam satu sistem, akses pelanggan kepada PTPTN akan jadi lebih sempurna.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN yang memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Iklan
Iklan

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kemudahan yang disediakan dalam aplikasi itu antara lain merangkumi semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN, permohonan potongan gaji serta debit terus bagi bayaran balik pinjaman dan Simpan SSPN.

Noraini yakin dengan adanya aplikasi yang mengintegrasikan semua kemudahan dalam satu sistem, akses pelanggan kepada PTPTN akan menjadi lebih mudah.

Iklan
Noraini (tengah) ketika melancarkan aplikasi myPTPTN sambil diiringi Abdul Razak (kiri) dan Ahmad Dasuki.

Menurutnya, jika sebelum ini pelanggan perlu masuk di portal yang berbeza untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN, namun mereka kini mampu menikmati pelbagai kemudahan PTPTN berkaitan bayaran balik, simpanan dan pinjaman dalam satu aplikasi secara Single Sign On (SSO).

"Malah, aplikasi ini akan membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Iklan

"Pelancaran aplikasi ini adalah manifestasi PTPTN dalam menjayakan agenda pendigitalan negara. Lebih bermakna, momen pada hari ini juga adalah kemuncak dalam kita meraikan sambutan Jubli Perak PTPTN tahun ini,”kata Noraini berucap pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di sebuah hotel di Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Majlis berkenaan turut dihadiri Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dato’ Dr Hussaini Omar.

Noraini ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Mobile App PTPTN pada Selasa.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah selari dengan Teras ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 bagi memperkasa organisasi ke arah yang lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan supaya penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan berada di tahap terbaik.

"Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021 – 2025 turut digubal bagi memandu hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan Sektor Awam untuk tempoh lima tahun selaras dengan agenda Kerajaan Digital mapan dan pembentukan masyarakat digital,” ujarnya.

Era pendigitalan

Beliau berharap pelancaran aplikasi myPTPTN ini menjadi titik perubahan kepada agensi-agensi kerajaan lain terutama di bawah KPT untuk sama-sama berganding bahu dalam menjayakan agenda pendigitalan negara.

Noraini turut menjelaskan, PTPTN sentiasa menambah baik perkhidmatan dalam talian dan menyediakan pelbagai saluran pembayaran dalam talian untuk menggalakkan bayaran tanpa tunai, lebih-lebih lagi bagi urusan bayaran balik pinjaman PTPTN dan penambahan deposit Simpan SSPN.

"Pada tahun 2021 sahaja, sebanyak tujuh saluran bayaran dalam talian telah diperkenalkan dan ini memudahkan pelanggan membuat bayaran tanpa perlu ke kaunter PTPTN,” ujarnya.

Dalam memastikan keselamatan pengguna, myPTPTN turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan terkini. Setiap pengguna memerlukan pegesahan identiti secara elektronik sebelum membuat sebarang urus niaga termasuk dengan cara pengesahan e-mel dan nombor telefon semasa pendaftaran serta transaksi disahkan dengan menggunakan Transaction Authorisation Code (TAC).

Oleh itu, para pengguna tidak perlu bimbang untuk menggunakan kemudahan dalam myPTPTN. Segala transaksi adalah mudah, selamat dan terjamin.

Noraini (tengah) bersama para hadirin menunjukkan isyarat tangan ‘bagus’ pada apilikasi myPTPTN selepas ia dilancarkan.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, aplikasi itu adalah inisiatif utama PTPTN sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN dalam memastikan institusi kewangan itu berada di tahap setanding dengan institusi kewangan lain di pasaran dalam penyediaan kemudahan digital terkini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh ini sebagai agensi di bawah KPT, PTPTN berjaya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dalam memperkasakan agenda pendidikan tinggi melalui pemberian pinjaman pendidikan, pengurusan bayaran balik pinjaman dan pembudayaan penabungan untuk perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

"Sehingga 28 Februari 2022, PTPTN telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM65.82 bilion, manakala bagi deposit Simpan SSPN, hampir RM11.51 bilion telah diterima daripada para pendeposit.

"Prestasi ini adalah hasil komitmen tinggi seluruh warga PTPTN yang sentiasa proaktif, cekap dan berdedikasi dalam menjalankan tugas. Ia juga membuktikan peranan PTPTN dalam menjadi nadi kejayaan ke arah pembangunan modal insan negara,” ujarnya.

Beliau berkata, perbincangan dan rujukan dengan pelbagai pihak dilakukan antaranya Kementerian Pengajian Tinggi serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi memperoleh kepakaran dan ilmu berkaitan teknologi serta ciri-ciri keselamatan pengguna yang sentiasa diutamakan.

"Pelancaran aplikasi mudah alih ini merupakan satu penanda aras yang membuktikan kesungguhan PTPTN dalam menjayakan agenda pendigitalan yang dihasratkan kerajaan. Ia juga cukup bermakna kerana PTPTN akan menuju ke arah pendigitalan secara bersepadu dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.

"Saya percaya aplikasi PTPTN ini akan menjadi platform terbaik yang akan mendekatkan generasi muda dengan PTPTN. Ini kerana golongan belia yang cenderung dalam penguasaan teknologi dan sentiasa peka dengan kemudahan digital yang akan memberi manfaat kepada mereka,” jelasnya.