Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang belum boleh buka

Iklan
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) mendengar penerangan berkaitan projek penyambungan Jalan Utama Meru Raya-Klebang di Jalan Lebuh Klebang Putra, pada Khamis.

IPOH - Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di Bagan Datuk belum boleh beroperasi meskipun sempadan negara dibuka bermula Jumaat ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri memerlukan lebih masa untuk meneliti beberapa perkara terutama berkaitan aspek keselamatan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini belum ada cadangan untuk buka (feri) kerana kajian ke atas beberapa perkara seperti kesesuaian masa dan keperluan-keperluan lain sedang dilaksanakan. Banyak aspek perlu dilihat dari segi keselamatan, kemudahan dan keperluan yang perlu diberi keutamaan.

"Kemungkinan (buka semula) itu ada setelah kajian nanti, tetapi bukanlah dalam kadar segera," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pecah tanah projek penyambungan Jalan Utama Meru Raya-Klebang di Jalan Lebuh Klebang Putra di sini, pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Mohd Zolkafly berkata, setakat ini kerajaan negeri belum menerima cadangan daripada mana-mana pihak untuk terminal itu kembali beroperasi selepas hampir dua tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Iklan

"Saya dapat maklumat (cadangan buka semula) ini secara tak rasmi sahaja, mereka belum kemukakan kepada saya untuk pelaksanaan itu," katanya.

Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di Bagan Datuk sebelum ini menjadi tumpuan warga Indonesia yang bekerja di negara ini untuk pulang ke kampung halaman menuju Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia.

Pada 1 April ini sempadan negara dibuka semula.