5,911 Rakyat Filipina masih di depot tahanan Imigresen Sabah

Iklan
Imigresen

TAWAU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam usaha berbincang dengan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur berhubung rancangan penghantaran pulang warga negara itu seramai 5,911 yang sejak lebih setahun lalu berada di depot tahanan imigresen di negeri ini sehingga menyebabkan kesesakan.

Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, satu perjumpaan bersama pasukan kaunselor kedutaan terbabit dirancang untuk diadakan Sabtu ini di sini bagi berbincang mengenai perkara itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan republik itu menetapkan peraturan agar warga mereka ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan RT-PCR sebelum di hantar pulang dengan kos itu ditanggung pihak Filipina, namun difahamkan peruntukan itu belum disalurkan ke pihak kedutaan mereka.

"Tahanan Filipina ini sedia untuk diusir tetapi berhadapan masalah ini, yang sepatutnya isu RT-PCR tidak timbul memandangkan tahanan ini sudah mendapat kemudahan vaksin COVID-19 lengkap termasuk dos penggalak, selain Malaysia dalam fasa peralihan endemik dan tahanan ini berada dalam kawasan terkawal, tidak bertemu orang luar," katanya.

Iklan

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas meninjau pengusiran 236 tahanan warga Indonesia pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau di sini hari ini.

Sharifah Sitti Saleha berkata, pihaknya merayu agar kerajaan Filipina memberi sedikit kelonggaran berhubung perkara berkenaan dan Imigresen Sabah juga telah menghantar surat kepada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur mencadangkan keluarga atau tahanan sendiri yang ingin menanggung kos RT-PCR dan tiket penerbangan bagi tujuan penghantaran pulang negara asal dibenarkan.

Iklan

"Bila tidak berlaku pengusiran tahanan Filipina, ia menyebabkan berlaku kesesakan di depot tahanan imigresen negeri ini, jika guna pendekatan kos ditanggung tahanan atau keluarga mereka adalah lebih efisyen dan membolehkan mereka balik ke negara asal... mereka ini juga sudah berada di depot tahanan lebih setahun," katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, penghantaran pulang tahanan Indonesia pada hari ini membabitkan 180 lelaki, 40 wanita serta 11 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.

"Terima kasih kepada Konsulat Republik Indonesia di Tawau yang sentiasa memberi kerjasama baik dalam proses pengusiran pulang rakyat Indonesia," katanya sambil menambah seramai 312 tahanan Indonesia lagi akan dihantar pulang April ini. - Bernama