Lahad Datu: Upacara peringati pahlawan negara terkorban perlu diteruskan

Iklan
Sebahagian anggota tentera dari 5 Infantri Malaysia Kem Lok Kawi yang menyertai perbarisan memperingati Ops Daulat hari ini. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Upacara memperingati pahlawan negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 perlu terus diadakan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap kepentingan menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, kata Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Saiful Bahari Zainol.

Beliau berkata, setiap tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan upacara perbarisan bagi memperingati seorang anggota tentera yang terkorban semasa insiden pencerobohan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pada hari ini kita telah berjaya melakukan satu acara perbarisan sempena memperingati pahlawan kita yang terkorban dalam pertempuran dengan penganas sulu di Kampung Tanduo Lahad Datu pada 2013.

"Kita mahu uar-uarkan kepada masyarakat di luar sana bahawa pernah terjadi satu pertempuran di Lahad Datu yang mengorbankan nyawa seorang anggota tentera, dan pahlawan ini tidak akan dilupakan, akan terus diingati dan dikenang," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara perbarisan yang disertai tujuh pegawai dan 67 anggota lain-lain pangkat di sini hari ini.

Iklan

Peristiwa pencerobohan Lahad Datu meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013.

Selain prebet Ahmad Hurairah Ismail yang meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di bahagian pipinya akibat ditembak oleh pihak pengganas, lapan anggota polis turut terkorban dalam insiden pencerobohan itu. - Bernama

Iklan