PUTRAJAYA - Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua produk kosmetik, LS Repairing Cream dan Luffiya Treatment Foundation mengandungi merkuri.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim dalam kenyataan pada Khamis berkata, notifikasi produk kosmetik tersebut telah dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual.
"Orang ramai digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tersebut," katanya.
Menurutnya, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.
"Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
"Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. Justeru penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan
dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta," katanya.
Norhaliza berkata, penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
"Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
Ujarnya, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
"Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya.