KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi masih belum menetapkan kuota khusus kepada semua negara yang bakal menghantar jemaah haji ke tanah suci Makkah pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Namun, beliau berkata, perlaksanaan ibadah haji akan tetap diteruskan dan ia pastinya menjadi berita gembira buat umat Islam di seluruh dunia.
"Saya mengambil peluang untuk perjelaskan kerungsingan headline daripada beberapa petikan akhbar mengenai tiada penambahan kuota haji.
"Tiada keputusan rasmi yang dibuat dan ia bukan hanya melibatkan negara kita semata-mata, tetapi semua negara yang bakal menghantar jemaah haji dan penantian untuk melaksanakan ibadah ini pada tahun ini, Insya-Allah bakal dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) akan sentiasa mengikuti perkembangan positif daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota ibadah haji bagi umat Islam di Malaysia.
Idris berkata, dengan prestasi membanggakan TH dalam pengurusan jemaah haji sehingga menjadi penanda aras di rantau Asia, beliau optimis umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah berkenaan pada tahun ini.
"Pastinya saya mengharapkan penambahan kuota berbanding sebelum ini supaya lebih banyak peluang diberikan kepada umat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam yang sangat besar ganjarannya di sisi ALLAH SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, beliau telah memperoleh pelbagai maklumat terperinci ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Arab Saudi.
Katanya, beliau berpeluang melihat sendiri bagaimana kerajaan Arab Saudi sedang berusaha bagi mempersiapkan segala keperluan untuk menyambut jemaah haji dari seluruh dunia.
"Namun, hakikat yang perlu kita ketahui, masih banyak lagi operasi yang secara langsung melibatkan industri di sana tidak beroperasi sepenuhnya seperti pembukaan hotel dan rumah penginapan, restoran dan tempat makan dan minum dan beberapa lagi operasi perniagaan yang tidak dibuka sepenuhnya,” katanya. - Bernama