KUALA LUMPUR - Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur secara mampan dan mengukuhkan komitmennya terhadap konsep agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pasaran modal negara tetapi juga rakyat, kata Menteri Kewanga, SenatorTengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
KWSP merupakan dana pencen dan pelabur institusi terbesar di Malaysia.
Beliau berkata, didorong oleh komitmennya terhadap dua matlamat pelaburan mampan yang menyeluruh iaitu pematuhan ESG menjelang 2030 dan portfolio neutral iklim menjelang 2050, Polisi Pelaburan Lestari KWSP, Dasar Isu Keutamaan, dan Dasar Sektor Keutamaan, KWSP berada di landasan yang betul ke arah mencapai objektif pelaburan mampannya.
Ini merupakan langkah tambahan dalam usaha memperkukuh amalan yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bertanggungjawab secara sosial, serta tadbir urus korporat yang kukuh, dalam kalangan syarikat penerima pelaburannya.
"Kerajaan percaya bahawa dengan menginstitusikan dasar ESG dalam pelaburan KWSP, manfaatnya akan dapat dirasai sepanjang rantaian nilai pasaran modal Malaysia, yang juga akan memanfaatkan Rakyat,” katanya pada pelancaran polisi pelaburan lestari KWSP di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, malahan, jaminan daripada kesemua 16 Pengurus Dana Luaran KWSP untuk menerapkan pertimbangan ESG dalam membuat keputusan pelaburan mereka dan bekerjasama dengan KWSP untuk mempromosikan agenda ESG merupakan satu titik permulaan yang baik.
Bagaimanapun, katanya, dalam usaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan menyelaraskan dasar-dasar dengan piawaian atau rangka kerja global, prinsip dan pendekatannya mesti disesuaikan dengan objektif nasional, serta keperluan tempatan.
Ini adalah untuk memastikan peralihan yang adil dan saksama yang mengiktiraf ciri-ciri unik, kekuatan dan cabaran setiap negara dalam mencapai objektif tersebut, katanya.
ESG dan Standard Buruh
Menurutnya, dengan penelitian global terhadap standard buruh yang meningkat secara beransur-ansur kerajaan yakin Dasar Kesejahteraan Pekerja KWSP akan mengukuhkan lagi amalan buruh dalam kalangan badan korporat Malaysia di samping membuktikan komitmen negara untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja.
Dari segi sosial, beliau berkata, pantauan mengenai amalan buruh Malaysia kian meningkat terutamanya layanan terhadap buruh asing oleh syarikat korporat di Malaysia dan ia mempunyai kesan buruk yang ketara bukan sahaja terhadap keuntungan perniagaan tetapi juga terhadap reputasi negara secara keseluruhan.
Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa pelaburan mampan berlandaskan konsep ESG menjadi semakin penting, dan tidak lagi terhad kepada negara maju, katanya.
Menurut Bloomberg Intelligence, aset ESG global berada di landasan yang tepat untuk melangkaui US$53 trilion menjelang 2025, menyumbang lebih daripada satu pertiga jumlah aset yang diuruskan dalam lingkungan US$140.5 trilion.
Peningkatan permintaan untuk aset ESG tidak menghairankan memandangkan prestasi pulangan yang lebih baik dalam jangka masa panjang. Bagi pulangan tahunan untuk tempoh tiga, lima dan 10 tahun, sebagai contoh, indeks MSCI Malaysia ESG Leaders 1 jelas mengatasi indeks MSCI Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan telah pun memulakan langkah-langkah khusus untuk memastikan kementerian yang lain berbelanja mengikut jangkaan kemampanan yang ditetapkan,
"Untuk mengekalkan momentum proses penyelarasan ini, pelabur institusi mesti berkongsi data utama tentang bagaimana setiap industri di dalam ekosistem mereka 'membentuk diri’ masing-masing dari segi kemampanan,” katanya.
Ini akan membolehkan dasar masa depan diubah suai dengan sewajarnya untuk meningkatkan penyesuaian iklim Malaysia dan strategi mitigasi krisis secepat mungkin, tambahnya. - Bernama