SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan tiga pilihan kadar bayaran zakat fitrah dengan minimum RM7, tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, MAINS turut menggalakkan mana-mana individu yang ingin membuat bayaran zakat fitrah berjumlah RM10 atau RM21 berdasarkan keselesaan, mengikut harga beras yang dimakan.
Beliau berkata, tiga kadar zakat fitrah tersebut telah diperkenan bagi pewartaan tahun ini oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
"Penetapan pilihan pada tiga kadar harga ini berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini, iaitu pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.751 kilogram.
"Selain itu, kadar harga pilihan merupakan satu galakan kepada umat Islam untuk menambahkan amalan khususnya ibadah zakat ketika di bulan Ramadan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, pihak MAINS juga bercadang menambah kadar bantuan pada bulan Ramadan kepada golongan asnaf fakir dan miskin pada tahun ini.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, MAINS melantik 1,400 amil zakat fitrah bagi kaunter pembayaran di pejabat MAINS daerah, masjid, surau dan pasar raya terpilih di seluruh negeri ini dengan pembukaan kaunter selama tujuh hari seminggu sepanjang bulan Ramadan, bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.
Pembayaran secara dalam talian juga boleh dilakukan menerusi portal rasmi MAINS, aplikasi MAINS, aplikasi MyEG, aplikasi SnapNpay dan aplikasi Boost perbankan internet melalui jomPay. - Bernama