STADIUM Sultan Ibrahim bakal menjadi pusat tumpuan pengunjung dengan pelbagai tarikan yang akan diperkenalkan termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) Hummer Tour dan pembukaan restoran, mulai esok.
Ketua Unit Komersil Kelab Bolasepak JDT, Kevin Ramalingam berkata, ia sejajar dengan titah pemilik kelab Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu menjadikan stadium berkenaan tumpuan orang ramai.
Beliau berkata, pihaknya juga merancang menyediakan tarikan lain seperti lawatan stadium buat pengunjung dalam masa terdekat.
"Restoran Woodfire Burger dan Hummer Tour adalah tarikan yang pertama, yang mana Woodfire adalah salah satu 'brand' Johor yang baik...dan banyak lagi restoran akan bertambah.
"Sebenarnya sudah ada yang tandatangan perjanjian untuk masuk tetapi belum dapat berjalan kerana sebelum ini kita hadapi banyak sekatan. Jadi selepas 1 April ini, banyak yang akan dibuka dan harap dalam masa tiga bulan akan datang banyak lagi tarikan (diperkenal),” katanya dalam sidang media di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, pada Khamis.
Dengan negara menuju ke arah Fasa Peralihan ke Endemik bermula esok, beliau berharap segala perancangan dibuat JDT berjalan dengan lancar.
"Esok bermula peralihan fasa Endemik, jadi sekarang banyak perkara kita boleh buat yang dahulunya banyak sekatan.
"Semasa pandemik, kanak-kanak tidak boleh datang (ke stadium), jadi selepas April lebih terbuka dan kita harap prosedur operasi standard (SOP) lebih terbuka, jadi (segala perancangan) kita baru boleh berjaya,” katanya.
Sementara itu, Kevin berkata, pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang mengelilingi stadium berkenaan dengan menaiki kenderaan Hummer menerusi JDT Hummer Tour, boleh mendapatkan tiket di kaunter stadium berkenaan dengan bayaran RM30 untuk 10 minit.
Beliau berkata, JDT Hummer Tour akan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad bermula dari 9 pagi hingga 6 petang. - Bernama