Piala FA: Melaka United, Kuching City, Perak lepasi pusingan pertama

Iklan
Ifedayo Olusegun diasak para pemain PIB FC dalam aksi Piala FA di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, pada Khamis. - Foto Melaka United Football Club

KELAB Liga Super, Melaka United mengesahkan slot ke pusingan kedua Piala FA selepas melakar kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas pasukan Liga M3, PIB FC dalam aksi pusingan pertama di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, pada Khamis.

Bagaimanapun, skuad Hang Tuah kendalian Risto Vidaković seakan buntu untuk merobek gawang pelawat biarpun selepas mendahului pada minit ke-12 hasil jaringan Emmanuel Oti apabila beberapa percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Iklan
Iklan

Bersambung babak kedua tuan rumah memperkemaskan permainan kembali mempamerkan kegarangan apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Adriano Narcizo pada minit ke-56, selepas percubaan Akmal Zahir ditampan dengan tangan Sukri Azman.

Gol itu ternyata menyemarakkan semangat para pemain tuan rumah apabila mula mengasak yang menyaksikan bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tampil meledak dua gol pada minit ke-60' dan 76' untuk kemenangan bergaya di laman sendiri.

Iklan

Sementara itu, di KUCHING, kelab Liga Premier, Kuching City FC tidak berdepan masalah untuk mara apabila dengan mudah menjinakkan UiTM FC, 2-0 dalam perlawanan di Stadium Negeri hasil jaringan Shafizi Iqmal Khirudin (56') dan Alif Hassan (62').

Di IPOH pula, Muhammad Hakimi Mat Isa muncul wira Perak FC apabila jaringan pada minit ke-101 memastikan kelab Liga Premier itu turut mara selepas menjinakkan Kijang Rangers FC 1-0 di Stadium Perak.

Iklan