TENAGA Nasional Berhad (TNB) mengakhiri kemarau kejuaraan apabila menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 pada perlawanan final penuh dramatik untuk menjulang Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.
Kejuaraan itu pastinya amat manis buat TNB dan pengendali Nor Saiful Zaini kerana berjaya menebus kekecewaan tewas dua kali dalam saingan Piala Sumbangsih dan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) musim ini kepada lawan sama.
Bagi THT, hasrat melakar sejarah meraih kejayaan treble tidak kesampaian, namun pengendali pasukan, Roslan Jamaluddin pasti masih boleh berbangga dengan kejayaan memenangi dua piala dalam musim pertamanya sebagai jurulatih.
Perlawanan final berlangsung penuh dramatik apabila, ketika kedudukan terikat 2-2 dan menuju shootout, pemain pertahanan Muhammad Amirul Hamizan Azhar muncul wira apabila menjaringkan gol bersejarah TNB pada saat-saat akhir perlawanan di minit ke-60.
Hantaran tepat Muhammad Firhan Ashaari dari sebelah kiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh Amirul Hamizan untuk menolak masuk bola melepasi penjaga gawang THT yang menjulang kejayaan TNB.
Sebelum itu, TNB memulakan permainan dengan corak permainan yang kemas dan berjaya mengekang gerakan-gerakan THT terutama dengan menguasai bahagian tengah.
Ketika THT masih tercari-cari rentak, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Shahril Saabah meledak gol, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-18 dan ke-39 untuk meletakkan TNB mengemudi selesa 2-0 di depan.
Namun, di suku terakhir, THT bangkit dengan semangat baru pada dan mengejutkan TNB dengan dua gol pantas dalam tempoh satu minit menerusi Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Ismail Abu pada minit ke-49 dan 50.
THT terus menekan kerapuhan benteng TNB, namun gerakan pantas saat akhir dari sebelah kiri yang digerakkan Firhan Ashaari, yang dinobatkan pemain terbaik final, nyata berhasil apabila Amirul Hamizan menolak masuk dari jarak dekat untuk melunaskan misi balas dendam TNB terhadap THT.
Sementara itu, Kapten TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan nyata gembira dengan kejayaan yang memang lama ditunggu warga TNB itu.
"Selepas agak selesa mendahului 2-0, pemain agak leka dan hilang fokus dan kami membayar kesilapan itu dengan dua gol.
"Ketika itu, kami mengubah sedikit strategi permainan dan tidak berhasil dan segera mengubah kepada strategi asal dan langkah itu berhasil dengan gol kemenangan Amirul,” katanya yang dipetik dari laman Facebook Malaysian Hockey Confederation
Biarpun gagal menjulang Piala TNB, THT bagaimana pun masih boleh mendabik dada pulang dengan dua piala iaitu Piala Sumbangsih dan Liga Premier selain status penyerang Faizal Saari sebagai penjaring terbanyak musim ini dengan 25 gol.
Pada perlawanan tempat ketiga dan keempat, UiTM HA yang tampil buat kali pertama musim ini, berjaya meletakkan diri dalam kelompok tiga teratas apabila mengejutkan Maybank 3-2 menerusi shootout selepas kedudukan terikat 2-2 pada permainan sepenuh masa.
Dalam pada itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal puas hati dengan penganjuran liga musim ini yang dianggap telah mencapai matlamat menampilkan perlawanan dan aksi yang hebat.
"Saya juga amat gembira kerana pasukan seperti UiTM HA yang tampil buat kali pertama berjaya membuktikan kemampuan untuk meraih kedudukan ketiga Piala TNB.
"Ini menunjukkan kita berada di landasan yang baik untuk terus mengangkat martabat hoki negara. Insya-ALLAH tahun depan, lebih banyak pasukan akan beraksi,” katanya.
INFO:
TNB LIGA HOKI MALAYSIA (Premier)
Juara: THT
Naib Juara: TNB
Tempat Ketiga: Maybank
PIALA TNB
Juara: TNB
Naib juara: THT
Ketiga: UiTM HA
ANUGERAH KHAS
Fair Play: Nurinsafi Sporting
Penjaring Terbanyak: Faizal Saari (THT) 25 gol
Pemain Terbaik Final: Mohamad Firhan Ashaari (TNB)
Penjaga Gol Terbaik: Adrian Andy Albert (UiTM HA)
Pemain Harapan: Muhajir Abdu Rauf (Maybank)