ISKANDAR PUTERI - Orang ramai berpeluang merasai pengalaman menaiki kenderaan mewah Hummer Limosin mengelilingi Stadium Sultan Ibrahim bermula Jumaat.
Ketua Unit Komersil Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim, Kevin Ramalingam berkata Hummer Tour itu adalah tarikan baharu buat orang merasai pengalaman menaiki Hummer Limosin mengelilingi stadium dengan kadar bayaran serendah RM30.
Katanya, Hummer Limosin itu sejajar dengan hasrat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu stadium ikonik Harimau Selatan itu menjadi tumpuan orang ramai susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika negara memasuki fasa endemik bermula esok.
"Sebenarnya, banyak program menarik yang kita rancang namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan banyak sekatan, maka terpaksa ditangguhkan dahulu.
"Bagi peringkat awal, JDT Hummer Tour akan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
"Sekiranya ia mendapat sambutan luar biasa, mungkin perkhidmatan ini akan diadakan pada setiap hari dengan disertakan peluang melawat ke dalam stadium," katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan mengelilingi Stadium Sultan Ibrahim menaiki Limosin Hummer JDT bersama media petang Khamis.
Jelasnya, pelbagai perancangan sedang dilakukan bagi memastikan Stadium Sultan Ibrahim menjadi lokasi kunjungan orang ramai termasuk keluarga dan kanak-kanak.
"Kita mahu pengunjung yang datang ke stadium bukan hanya ketika ada perlawanan sahaja tetapi turut dijadikan tempat untuk seisi keluarga meluangkan masa dengan anak-anak mereka.
"Dahulu semasa pandemik, kanak-kanak tidak boleh datang, jadi selepas ini mereka bebas berada di sini dengan SOP yang lebih terbuka, jadi (segala perancangan) kita baru boleh berjaya,” katanya.