SEPANG - Pesawat Saudi Airlines dari Jeddah, Arab Saudi menjadi pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena pembukaan sempadan negara secara rasmi pada Jumaat.
Pesawat yang turut membawa bersama jemaah umrah tempatan itu tiba kira-kira jam 1 pagi.
Sementara itu, sebuah pesawat sewa khas dari Yangon, Myanmar yang membawa 21 penumpang tiba kira-kira 3.15 pagi di KLIA.
Seorang penumpang, Mohd Akram Amri, 35, berkata, urusan kepulangannya dari Myanmar ke Malaysia kali ini lebih mudah dan cepat dengan hanya kira-kira 10 minit berbanding lebih dua jam sebelum ini.
"Sebelum sempadan dibuka, masa itu ketat, ada ujian RT-PCR dan kena kuarantin 14 hari tapi sekarang proses lebih senang apabila sempadan dah buka," kata bapa kepada empat anak yang bekerja selama tiga bulan di luar negara.
Berdasarkan paparan jadual penerbangan di KLIA, sekurang-kurangnya 17 penerbangan antarabangsa akan tiba di KLIA antaranya dari Jeddah, Arab Saudi; Yangon, Myanmar; Kathmandu, Nepal; Dhaka, Bangladesh; Melbourne, Australia; Chennai dan Hyderabad, India; London-Heathrow; Jakarta, Indonesia; Muscat, Oman; Singapura dan Doha, Qatar sehingga 9.30 pagi ini.
Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April selari dengan perancangan negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik. - Bernama