Rakyat Singapura tak lepaskan peluang bercuti di Malaysia

Iklan
Rosnah (kanan) bersama ahli keluarganya ketika ditemui sebaik menyeberangi Tambak Johor di sini pada Jumaat

JOHOR BAHRU - Berkunjung ke lokasi tarikan utama dalam negara ini antara hasrat yang ingin dilunaskan pengunjung dari Singapura sebaik berjaya memasuki negara selepas sempadan antarabangsa kedua-dua negara mulai dibuka sepenuhnya.

Salah seorang warganegara republik berkenaan, Rosnah Din, 62, berkata, dia dan keluarga sudah lama memendam hasrat untuk bercuti di Malaysia sejak pintu masuk antarabangsa ditutup dua tahun yang lalu.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, kami dapat tengok gambar sahaja tempat pelancongan menarik di Malaysia seperti Pulau Redang, Terengganu, kini bolehlah pergi untuk gembirakan hati sendiri.

"Harap pembukaan sempadan ini berpanjangan dan berterusan, sebab pada peringkat awal ini kita tak tahu keadaannya sama ada positif atau negatif. Yang penting, kita sentiasa kena jaga diri," katanya ketika ditemui sebaik melintasi Tambak Johor di sini pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura secara rasmi mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Pembukaan semula sempadan kedua-dua negara itu juga akan menyaksikan kira-kira 400,000 pengunjung dan rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan akan mulai melintasi Tambak Johor hampir setiap hari.

Iklan

Selain itu, Rosnah yang juga mempunyai saudara di Muar turut memberitahu peluang berkunjung kembali ke negara ini akan dimanfaatkan untuk bertemu semula dengan ahli keluarganya selepas dua tahun tidak bersua.

Katanya, kali terakhir bertemu mereka semua adalah adalah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2019.

"Apabila kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, ada tiga kematian ahli keluarga di Singapura yang adik beradik di sini tidak dapat hadir, memang kami merasa sedikit terkilan.

"Jadi apabila kami mendapat tahu ada ahli keluarga di Muar yang jatuh sakit, saya tak fikir panjang dan buat keputusan untuk melintasi sempadan Johor-Singapura pada malam ini.

"Insya-ALLAH, kami akan pulang balik ke Singapura selepas dapat melepaskan rindu pada ahli keluarga di Muar serta dapat sambut awal Ramadan bersama-sama," ujarnya.

Murugan

Sementara itu, seorang lagi rakyat Singapura, M Murugan, 39, berkata, dia sudah siap berkemas dan mẹmbuat persiapan untuk pulang ke Johor sejak seminggu lalu untuk pulang bertemu keluarganya yang tinggal di Johor Bahru.

Katanya, sejak penutupan sempadan pada Mac 2020, dia terpaksa meninggalkan isteri dan empat anaknya untuk terus mencari rezeki di tanah airnya.

"Apabila saya mendapat tahu pembukaan sempadan membabitkan kedua-dua negara, saya merasa sangat gembira kerana boleh bekerja seperti sedia kala dengan berulang alik ke Kota Singa ini.

"Saya akan gunakan peluang ini untuk meluangkan masa bersama anak-anak setelah mengambil cuti selama seminggu. Selepas itu, akan pulang semula ke Singapura,” katanya.

Murugan yang bekerja di sektor pelabuhan di Singapura turut memaklumkan dirinya masih belum berpindah terus ke negara ini sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang berlaku penutupan semula sempadan selepas ini.