31 ekor penyu mati dalam tempoh tiga bulan

Iklan
Ruzaidi (tengah) melepaskan tiga penyu dewasa ke laut sempena Majlis Pelancaran Bulan Kesedaran Penyu Negeri Terengganu di Pantai Rantau Abang di sini. - Foto Bernama

DUNGUN - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu merekodkan 31 kes kematian penyu sejak Januari hingga Mac tahun ini.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, jumlah kematian agak tinggi itu antara lain disebabkan ombak kuat pada musim tengkujuh yang menyukarkan reptilia tersebut untuk naik ke permukaan air bagi mendapatkan udara.

Iklan
Iklan

"Faktor kedua adalah disebabkan aktiviti pukat tunda tidak menepati syarat ditetapkan iaitu tiada pemasangan alat Peranti Penyisih Penyu (TED). Pemasangan TED amat penting bagi memudahkan penyu yang terperangkap di dalam pukat untuk keluar.

"Penangkapan ikan menggunakan pukat pari atau pukat tangsi bersaiz mata pukat 10 inci ke atas juga menjadi punca kematian haiwan tersebut. Penggunaan pukat pari seumpama itu telah diharamkan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesedaran Penyu Negeri Terengganu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di sini.

Iklan

Selain itu, katanya, pembuangan sampah oleh orang awam ke dalam sungai dan laut turut menjadi ancaman kepada hidupan laut itu yang termakan plastik kerana menganggap ia adalah obor-obor.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi mengatasi isu kematian penyu antaranya menjalankan ‘Ops Penyu’ dan pihak jabatan berjaya menahan tiga bot Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) yang tidak menggunakan TED.

Iklan

Menurut rekod, jabatan tersebut juga telah merampas 37 pukat pari dalam operasi dijalankan di pesisir pantai di Terengganu pada awal Mac lepas.

Sementara itu, Ruzaidi berkata, sebanyak RM400,000 diperlukan daripada kerajaan negeri bagi melaksanakan program pengurusan seperti bayaran upah kepada pekerja pengurusan penyu dan pembelian telur penyu daripada pemajak di Terengganu.

Kerajaan pusat pula katanya, telah memperuntukkan RM170,000 untuk pengurusan penyu dan pembaikan tempat penetasan penyu di negeri ini pada tahun ini.

Beliau berkata, Bulan Kesedaran Penyu yang berlangsung kini diadakan bertujuan memberi hebahan dan kesedaran kepada orang ramai dalam menjaga haiwan reptilia yang menjadi ikon pelancongan Terengganu itu.

Ia juga diadakan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai Enakmen Penyu 1951 (pindaan 2021) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada November tahun lalu yang antaranya melarang penjualan telur penyu untuk semua spesies mulai 1 Jun ini.

"Kita juga akan adakan aktiviti gotong-royong pembersihan pantai bersama penduduk kampung dan pengunjung serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bagi membersihkan sampah hanyut selepas musim tengkujuh yang boleh mengganggu pendaratan penyu,” katanya. - Bernama