IPOH - Pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah dan Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMPk), berharap agar orang ramai tidak lagi membuat sebarang spekulasi selain menularkan sebarang permasalahan yang berlaku di sekolah berkenaan.
Pengetuanya, Fadhilah Hawary berkata, segala permasalahan berkenaan sewajarnya dibawa terlebih dahulu kepada pengetahuan pihak sekolah untuk tindakan lanjut dilaksanakan.
"Saya mohon aduan itu dibawa ke pihak sekolah jangan bawa ke pihak lain, supaya penerangan lebih jelas.
"Sebenarnya dari segi kesihatan, memang tidak ada masalah. Cuma memang ada pelajar yang sakit mata, demam mungkin seorang dua, kita akan hantar ke hospital terdekat seperti Hospital Sungai Siput atau Klinik 1 Malaysia.
"Oleh itu berkaitan dengan masalah penyakit kulit dari segi kebersihan mungkin dibawa dari rumah dan bila sampai ke sini bila bercampur dengan rakan akan berlaku jangkitan,” katanya.
Fadhilah berkata demikian pada sidang media hari ini bagi mengulas berhubung aduan daripada ibu bapa pelajar sekolah berkenaan berhubung masalah sakit kulit yang dialami oleh pelajar yang disyaki kesan daripada kandang babi berhampiran.
Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar dan Yang Di-pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Ziman Aziz.
Tambah Fadhilah, pelajar serta warga SMK Muhibbah dan SSeMPk perlu sentiasa menjaga kebersihan bagi mencegah penularan wabak penyakit.
"Penjagaan kebersihan itu juga diharap mampu memastikan kebersihan di kawasan persekitaran sekolah berkenaan sentiasa terjamin,” katanya.
Sementara itu Zainol Fadzi berkata hasil tinjauan, pihaknya mendapati tidak berlaku perkara sebagaimana yang ditularkan.
Katanya, kebanyakan pelajar menafikan perkara berkenaan dan mengatakan gembira tinggal di sekolah berkenaan.
"Berhubung soal yang kita nyatakan tadi, jika ada masalah berkitan pelajar, pihak pertama rujuk pihak sekolah jangan dengar atau tularkan.
"Setelah melawat, saya sahkan, tidak berlaku sebagaimana yang digambarkan dalam aduan awam,” katanya.