MAFI perkasa infrastruktur pertanian Sarawak

Iklan
Ronald (kiri) beramah mesra bersama Abang Johari ketika mengadakan kunjungan hormat di Sarawak.

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memberi perhatian terhadap permohonan kerajaan Sarawak dan terus membantu dalam memperkasakan infrastruktur pertanian di negeri itu khususnya agromakanan.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ia bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta mengusahakan tanah yang luas di Sarawak untuk meningkatkan lagi pengeluaran berskala besar produk agromakanan.

Iklan
Iklan

Semasa lawatannya ke negeri itu, beliau turut mengadakan satu perbincangan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkaitan kerjasama untuk terus memodenkan sektor pertanian di Sarawak sekali gus memajukan sektor agromakanan negara secara keseluruhannya.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkongsi aspirasi yang sama serta komited untuk terus bekerjasama menggalakkan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus memastikan jaminan bekalan dan sekuriti makanan negara.

Iklan

"Ia kerana teknologi merupakan antara langkah penyelesaian bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor agromakanan di peringkat domestik mahupun global,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, seiring dengan visi untuk membangunkan sektor agromakanan, MAFI berharap lawatan itu dapat memberi impak tinggi dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri terutama dalam sektor agromakanan.

Iklan

Ronald sebelum ini telah melawat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuching yang memainkan peranan penting dalam menjalankan penyelidikan pertanian dan makanan.

Ronald (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Abang Johari selepas mengadakan kunjungan hormat di Sarawak.

Menurutnya, kementerian akan terus memberikan segala sokongan yang perlu kepada MARDI Sarawak bagi membantu usahawan dan golongan sasar dalam membangunkan sektor pertanian dan industri makanan di Sarawak.

"MAFI akan memberi khidmat nasihat, tunjuk ajar serta kajian bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti melalui teknologi terkini dan produktif,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan melalui MAFI telah memperuntukkan lebih RM150 juta kepada negeri Sarawak melalui jabatan dan agensi MAFI untuk melaksanakan pelbagai projek, program serta inisiatif merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan.

"Daripada jumlah itu, RM53.8 juta diperuntukkan tahun ini untuk melaksanakan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Subsidi Insentif Padi (SIPP), Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit / Huma (SBRPB),” katanya.

Ronald juga akan mengadakan lawatan ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, tinjauan ke tapak penanaman padi program SMART Sawah Berskala Besar di Stumbin dan Tanjung Bijat, Sri Aman serta Walkabout di Medan Niaga Satok yang dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi meninjau operasi pasar dan pemasaran.

"Lawatan kerja ini dilihat sangat penting untuk sektor agromakanan negara selaras dengan perancangan dan hala tuju MAFI menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” katanya.

Selain itu, katanya, ia juga menyediakan platform kepada kerajaan negeri, pengurusan tertinggi MAFI, kumpulan sasar kementerian dan pemain industri membincangkan pendekatan yang dapat menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran pertanian, seterusnya memperkukuh sekuriti makanan negara.