PUTATAN - Mangsa kejadian kebakaran di Tawau yang masih belum mendapat penempatan akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balung.
Tindakan itu diambil selepas ada segelintir mangsa yang terjejas masih belum mendapat tempat penempatan atau rumah selepas kejadian yang menimpa mereka kira-kira dua minggu lalu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dari segi proses atau tatacara apabila berlakunya bencana.
"Ada rangka masa ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tempoh itu sudah lanjut.
"Jadi Presiden MPT bersetuju untuk membuka PPS di Balung untuk menempatkan mereka yang sukar mendapat rumah selepas kebakaran berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Bersih Putatan Tahun 2022 di pekarangan Pejabat Majlis Daerah Putatan, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha kerajaan dalam membantu mangsa yang masih belum ada penempatan berikutan dakwaan mangsa yang terpaksa mendirikan pondok di tepi jalan untuk berlindung ketika ini.
Sehubungan itu, beliau berharap, mangsa yang masih mengalami kesukaran untuk mendapatkan penempatan atau rumah boleh berhubung dengan pihak MPT bagi tujuan pendaftaran untuk ditempatkan di PPS Balung.
"Ini sementara bagi mereka yang sedang berusaha mencari tempat tinggal yang mereka boleh diami selepas kejadian itu," katanya.
Diminta mengulas untuk penempatan semula di tapak kebakaran, Shahelmey berkata, ia bergantung kepada pihak berkuasan tempatan (PBT) yang menguruskan perkara itu.
Sebelum itu, difahamkan terdapat segelintir mangsa kebakaran di Kampung Jalan Apas Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, terpaksa mendirikan pondok untuk penempatan sementara selepas masih tidak dapat mencari penempatan yang sesuai untuk mereka diami dengan selesa.
Dalam kejadian 18 Mac lalu, lebih 700 rumah atas air di penempatan itu musnah akibat kebakaran dan menyebabkan lebih 1,000 penghuni tinggal sehelai sepinggang.