MARANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka bertemu Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perkara itu dinyatakan Abdul Hadi ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.
"Pertemuan (dengan Tun Mahathir) akan diaturkan," katanya ringkas.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas turut dimaklumkan berhubung pertemuan antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Tun Mahathir.
"Ya (Pas) dimaklumkan (berhubung pertemuan antara Muhyiddin dan Tun Mahathir). Ya, dengan sesiapa sahaja kita sedia bekerjasama. Akan diaturkan (pertemuan bersama Tun Mahathir) Insya-ALLAH.
"Kita sedia bertemu dengan semua untuk menyatukan ummah," katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi turut mengulangi pendirian Pas berhubung jalinan kerjasama menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).
"Kita berhubung dengan semua pihak dan kita terbuka dalam usaha menyatupadukan orang Islam dan masyarakat majmuk.
"MN tak terhad dua parti sahaja dan perlulah mereka yang menerima dasar perpaduan ummah yang dibawa Pas," ujarnya.
Pada Rabu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu Muhyiddin bertemu Tun Mahathir dua minggu lalu berhubung gabungan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.