Pembukaan sempadan di KLIA: Kegembiraan pengembara sukar digambarkan

Iklan
Pengembara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat setelah Malaysia mula memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dengan pembukaan semula sempadan negara melalui udara dan darat setelah dua tahun menyepi ekoran pandemik Covid-19. - Foto Bernama

SEPANG - Umpama memenangi tiket loteri, kata seorang pemuda dari Klang, Selangor, yang berkongsi perasaannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Melbourne, Australia di sini pagi tadi.

Ng Hou Jun, 26, yang bekerja sebagai jurutera perisian di negara itu berkata selepas hampir dua tahun tidak pulang ke Malaysia lantaran pandemik Covid-19 yang melanda dunia, perasaan gembira itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

Iklan
Iklan

Dia berkata, walaupun sebelum ini kerajaan Malaysia membenarkan warga tempatan yang berada di luar negara untuk pulang ketika sempadan negara ditutup bermula Mac 2020, keperluan menjalani kuarantin bagi tempoh lama dirasakan agak membebankannya, lantaran itu Hou Jun membuat keputusan untuk tidak balik ke tanah air.

"Apabila saya akhirnya bersedia untuk menjalani kuarantin (sebaik tiba di Malaysia), pada 1 Mac lalu saya dan rakan wanita membeli tiket bertarikh 1 April 2022.

Iklan

"Pada 8 Mac saya baca dalam media sosial kerajaan bersetuju membuka sempadan negara dan memansuhkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) antaranya keperluan kuarantin, saya rasa sangat gembira. Rasa macam menang loteri," katanya pada Jumaat.

Hou Jun berkata, dia dan rakannya akan bercuti selama sebulan di Malaysia sebelum kembali semula ke Australia.

Iklan

"Perancangan kami di Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Kami juga tak sabar nak ke (restoran) mamak makan roti telur dan nasi lemak yang kami rindukan," katanya.

Bagi pengusaha restoran nasi kandar, Mohamed Shafiq Riswan Waris, 25, kerinduan terhadap datuk, nenek, emak dan pak cik saudara yang dipendam selama hampir setahun, terlerai sudah.

Sebaik datuknya, Datuk Mohamed Salibu melangkah keluar dari Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Mohamed Shafiq bersama empat sepupunya terus meluru ke sana dan memeluk lelaki itu yang baru tiba dari Chennai, India kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat.

"Datuk pergi ke India untuk berubat masalah buah pinggangnya dan sejak itu kami terpisah, hanya telefon menjadi penghubung kami.

"Sepanjang ketiadaan datuk, saya bersama ahli keluarga yang lain berusaha sedaya upaya menguruskan beberapa restoran datuk yang ada di Johor Bahru dan Melaka," katanya yang tidak sabar untuk menyambut Ramadan bersama-sama datuknya nanti.

Sementara itu, guru sekolah antarabangsa di Malaysia, Gary Crick, 46, mendapati proses ketibaan lebih mudah dan cepat, hanya mengambil masa sejam berbanding sebelum ini yang memakan masa lebih dua jam.

Manuel Villada, 29, dari Mexico pula berkata, dia menaiki penerbangan Oman Air dari Dubai ke KLIA untuk menghadiri mesyuarat perniagaan dengan syarikatnya yang berpangkalan di Malaysia.

"Saya memilih hari ini, tarikh 1 April bersebab kerana saya mahu elakkan kuarantin. Selain mesyuarat dan kerja, saya merancang untuk melawat tempat tarikan pelancong di sini,” katanya yang akan berada di Malaysia selama 10 hari.

Seorang lagi pengembara, Radu Lazar, 44, warganegara Romania berkata, dia merancang untuk berkunjung ke Malaysia pada Disember tahun lepas, bagaimanapun tertangguh berikutan kenaikan kes Covid-19 pada masa itu.

Dia yang menaiki penerbangan Qatar Airways dari Doha merancang untuk menubuhkan satu cawangan syarikat di Malaysia dan akan menginap beberapa minggu di sini untuk bertemu bakal rakan kongsi.

Lazar turut memuji proses yang lancar sebaik turun dari pesawat sehingga tiba ke Ketibaan Antarabangsa.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April selari dengan perancangan negara memasuki fasa peralihan ke endemik. - Bernama