BEKAS pemain Argentina, Sergio Aguero memberi bayangan bahawa dia mungkin akan kembali bermain bola sepak pada masa akan datang.
Bagaimanapun Aguero menegaskan, dia tidak akan bermain di peringkat tertinggi atau professional, sebaliknya hanya akan bermain di peringkat amatur atau sekadar menghilangkan keghairahannya terhadap sukan bola sepak.
"Semalam, terlintas di fikiran saya bahawa saya boleh bermain bola sepak semula. Saya seperti mahu berlatih semula
"Bagaimanapun, doktor memberitahu saya bahawa saya perlu berehat dan tidak boleh beraksi selama lima atau enam bulan.
"Kalau saya bermain semula, mungkin saya hanya bermain secara suka-suka dan bukannya professional. Tetapi ia semua bergantung kepada nasihat doktor," katanya.
Terdahulu, pemain Argentina itu terpaksa bersara dari arena bola sepak pada tahun lalu, beberapa bulan selepas meninggalkan Manchester City ke Barcelona secara percuma.
Ia selepas bekas pemain Manchester City itu, disahkan mengalami masalah jantung apabila mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas ketika Barcelona seri 1-1 dengan Alaves pada tahun lepas.
Menurut Aguero, meskipun ia satu keputusan yang sangat sukar buat dirinya, namun dia gembira dengan keputusan yang dibuat kerana melihat kesihatan adalah lebih penting.