PUTRAJAYA - Kaki ponteng puasa atau dikenali dengan geng plastik hitam diberi amaran bakal berdepan hukuman setimpal sekiranya ditangkap sepanjang Ramadan.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, tindakan sama akan diambil ke atas peniaga yang menjual makanan kepada orang Islam pada siang hari.
"Memang ada geng ini. Ini adalah kelakuan tidak baik," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Sambutan Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan dekat sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hukuman bagi kaki ponteng puasa bagaimanapun tertakluk kepada undang-undang di sesebuah negeri.
Sementara itu, dalam ucapannya, Idris mengajak seluruh umat Islam di negara ini 'berpuasa' mulut daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakiti orang orang lain.
Beliau berkata, ibadah puasa adalah bertujuan untuk mendidik diri meninggalkan perkara mazmumah.
"Marilah kita turut 'berpuasa' mulut. Puasa dari fitnah, adu domba, melaga-lagakan orang dan seumpamanya," katanya
Ujarnya, Ramadan sepatutnya bulan untuk umat Islam berkasih sayang, bersatu padu antara satu sama lain, berlumba-lumba melakukan ibadah dan menghindari perkara sia-sia yang boleh meruntuhkan kesatuan ummah.
"Satu perkara yang kita semua perlu hidupkan pada Ramadan adalah membaca, mentadabbur dan menghayati al-Quran kerana salah satu kemuliaan bulan ini adalah turunnya al-Quran yang menjadi penyuluh kepada umat manusia," katanya.
Ditanya mengenai kebenaran untuk merapatkan saf solat berjemaah, beliau berkata, semua negeri telah mengeluarkan kebenaran tersebut.
Menurutnya, peluang tersebut perlu disambut orang ramai dengan mengimarah masjid mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Umat Islam kini tiada alasan untuk tidak berjemaah," katanya.