KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Kamsiah Kamaruddin yang meninggal dunia pada Khamis.
Menerusi catatan di Facebook pada Jumaat, Ismail Sabri berharap mereka sabar dan tabah menghadapi pemergian itu.
"Didoakan agar ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan ditempatkan bersama-sama para solihin,” menurut catatan itu.
Ismail Sabri berkata, kerajaan amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Allahyarhamah dan pemergian itu merupakan satu kehilangan besar kepada negara.
Kamsiah, 54, berkhidmat di Wisma Putra sejak 1992 dan dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN pada 16 Julai 2019 serta pernah bertugas di Thailand dan Singapura.
Menurut Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq, Allahyarhamah meninggal dunia akibat denggi dan komplikasi kesihatan.
Allahyarhamah merupakan isteri kepada Duta Besar Malaysia ke Filipina, Norman Muhamad. - Bernama