BAYAN LEPAS - Kerinduan seorang bapa terhadap anak perempuannya yang terkandas di negara matahari terbit terlerai apabila mereka bertemu semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.
Pengarah besar sebuah syarikat kenderaan, Goh Wei Sing, 47, yang menunggu hampir satu jam bersama dua jambak bunga ros bagi meraikan kepulangan isteri tersayang yang juga warga Jepun, Sakai Chi Eko, 48, berkata, dia sangat merindui kedua-dua orang tersayangnya itu.
Dia yang bekerja lebih 20 tahun di Jepun berkata, dia pulang ke Pulau Pinang atas urusan kerja berseorangan sejak dua tahun lalu.
"Saya pulang ke sini seorang diri dan akan disusuli isteri dan anak perempuan, Sakai Go Yuna yang berusia enam tahun. Bagaimanapun, kedua-duanya terkandas apabila pintu sempadan negara ditutup akibat Covid-19.
"Selama berjauhan, kami hanya membuat panggilan video setiap hari untuk melepaskan rindu. Saya tidak sabar untuk tinggal bersama-sama di sini. Isteri yang juga suri rumah sepenuh masa dan anak saya akan terus tinggal di sini selepas ini," katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Antarabangsa LTAPP di sini, pada Jumaat.
Wei Sing menambah, selepas pengumuman pembukaan pintu sempadan negara akan dibuka pada 1 April, dia terus membuat tempahan tiket penerbangan untuk isteri dan anaknya.
"Bayangkan dua tahun tidak jumpa, saya sangat teruja dan tidak sabar," katanya.
Katanya lagi, isteri dan anaknya menaiki penerbangan dari Haneda, Jepun pada 10 malam Khamis dan transit di Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke LTAPP.
Chi Eko berkata, dia bersyukur akhirnya dapat berjumpa dengan suaminya setelah 'terpisah' sejak dua tahun lalu.
"Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan apabila dapat melihat wajah suami saya. Syukur dapat tinggal bersama-sama suami dan anak semula," katanya yang tinggal di Koyama.
Sementara itu, Jennifer Tan, 32, yang tiba dari Australia berkata, dia terkandas di negara itu sejak dua tahun lalu dan tidak sabar untuk bertemu keluarganya di Permatang Pauh, Bukit Mertajam.
"Saya sebenarnya ke Australia untuk bercuti bersama suami. Suami saya merupakan penduduk tetap dan dia bekerja di sana. Sepanjang terkandas, saya menyambung pelajaran.
"Apabila pintu sempadan negara dibuka, saya tidak tunggu lama, terus beli tiket dan pulang. Saya rindu keluarga dan makanan terutamanya char koay teow," katanya.
Katanya, keluarga tidak mengetahui tentang kepulangannya kecuali adik lelakinya yang datang ke LTAPP untuk menjemputnya.
"Tak sabar nak buat kejutan untuk keluarga terutamanya ibu saya," katanya.
Sebelum itu, pesawat antarabangsa pertama dari Singapura tiba di LTAPP pada jam 10.30 pagi selepas pintu sempadan negara dibuka semula.
Pesawat Scoot Tigerair bernombor TR498 yang membawa 172 penumpang itu selamat mendarat di hangar sebelum menjalani semburan air (water cannon) sebagai simbolik pesawat pertama yang tiba di negeri ini.
Pesawat Scoot Tigerair itu merupakan salah satu daripada sembilan penerbangan antarabangsa yang akan tiba di Pulau Pinang pada Jumaat.
Sembilan penerbangan itu melibatkan lapan daripada Singapura dan satu daripada Ho Chi Minh dengan jumlah keseluruhan penumpang adalah lebih 1,000 orang.