Malaysia jangka tarik dua juta pelancong antarabangsa

Iklan
Nancy Shukri (dua dari kanan) menyambut ketibaan pengembara antarabangsa sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Qatar pada hari pertama Malaysia membuka pintu sempadan negara kepada pengembara antarabangsa melalui laluan udara dan darat. - Foto Bernama

SEPANG - Malaysia dijangka menarik dua juta pelancong antarabangsa tahun ini dengan RM8.6 bilion pendapatan pelancongan berikutan pembukaan semula sempadan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan Malaysia hari ini akan membawa pemulihan besar bagi industri pelancongan.

Iklan
Iklan

"Kita menunggu dengan sabar untuk saat ini. Ini seperti Hari Raya kita," kata Nancy semasa mengalu-alukan ketibaan 220 penumpang pesawat Etihad Airways dari Abu Dhabi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)pada Jumaat.

Pesawat penerbangan EY418 itu yang mendarat di KLIA pada 10.14 pagi diberikan sambutan tradisi semburan air.

Iklan

Menurutnya, terdapat kira-kira 100 penerbangan yang dijadualkan tiba di lapangan terbang Malaysia pada Jumaat yang membawa lebih 10,000 penumpang termasuk pelawat asing dengan 80 daripadanya melalui KLIA dan klia2.

"Industri teruja untuk mengalu-alukan pengunjung sekali lagi selepas aktiviti pelancongan sunyi sejak dua tahun lepas," katanya sambil menambah bahawa mereka telah bersedia terutamanya pengendali inap desa dan ekopelancongan di kawasan luar bandar.

Iklan

Nancy berkata pemain industri diharap menggunakan kebijaksanaan digital untuk mempromosi produk masing-masing kerana trend pelancong kini lebih cenderung kepada melancong dalam kumpulan kecil dan keluarga.

Beliau berkata, pelbagai program pelancongan juga telah disusun untuk tahun ini seperti majlis iftar bagi menonjolkan adat budaya Malaysia dan produk pelancongan seperti tempat hiburan dan membeli-belah di Genting Highlands dan Cameron Highlands serta percutian di pulau yang mendapat permintaan memberangsangkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban pula berkata, fasiliti di 183 pintu masuk negara telah bersiap siaga menerima kedatangan pengembara dengan kaunter manual telah diaktifkan 50 peratus manakala 'auto gate' telah aktif 100 peratus.

"Pihak imigresen bersedia membuka lebih banyak kaunter manual bergantung kepada keperluan. Setakat ini kaunter sedia ada mampu menampung ketibaan pengembara tanpa berlaku apa-apa kesesakan," katanya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya telah melakukan persediaan rapi sejak sebulan lepas dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan proses ketibaan dan waktu menunggu untuk pengembara ringkas dan cepat.

Beliau berkata, sukarelawan dan pasukan petugas MAHB telah digerakkan di kawasan lapangan terbang untuk membantu pengembara terutamanya dari segi penggunaan aplikasi MySejahtera untuk tempoh dua minggu. - Bernama