Qatar sudah bersedia anjur Piala Dunia 2022

Iklan
Hamidin

QATAR dilihat sudah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022, yang akan berlangsung 234 hari lagi, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin yang mengetuai delegasi Malaysia ke Kongres Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke-72 di Doha, berkata sepanjang berada di negara itu, beliau mendapati venue pertandingan telah bersedia selain kemeriahan kejohanan itu sudah mula dirasai.

Iklan
Iklan

"Persiapan yang diadakan di benua Asia ini dan pertama di Timur Tengah disifatkan sebagai sempurna dan sudah siap setahun awal,” katanya dalam hantaran Facebook rasmi FAM, hari ini.

Piala Dunia Qatar yang dijadual berlangsung pada 21 November hingga 18 Disember ini dijangka meriah susulan lebih 800,000 tiket sudah dijual setakat ini.

Iklan

Selain Hamidin, dua lagi Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi serta Datuk S Sivasundaram turut hadir ke kongres itu pada Khamis dan akan menghadiri majlis undian Piala Dunia 2022 yang dijadualkan pada Jumaat.

Menurut hantaran itu, pada kongres tersebut Presiden FIFA, Gianni Infantino menyatakan hasrat untuk bertanding semula jawatan itu pada 2023, selain menekankan beberapa topik utama iaitu dana pembangunan FIFA Forward ditingkatkan kepada 25 peratus bagi setiap negara gabungan, pelaburan dalam pembangunan bola sepak dan penyelesaian konflik peperangan negara anggota.

Iklan

Antara lain agenda kongres termasuk undian mengenai cadangan untuk meminda statut dan Peraturan Tetap Kongres serta perbincangan cadangan yang dikemukakan oleh ahli gabungan dan ahli majlis.

"Paling utama ialah seluruh keluarga bola sepak dunia berkumpul buat pertama kali selepas dikekang dengan penularan Covid-19. Justeru, dengan berjayanya kongres (tersebut) yang kemudian disusuli dengan majlis undian Piala Dunia, adalah perkembangan positif,” katanya.

Sebelum itu, Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-9 bagi penggal 2019-2023 yang turut diadakan di Doha, Rabu lalu..

Beliau juga akan menyertai Mesyuarat Majlis Ketujuh Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Doha pada Jumaat. - Bernama