Bersih lancar kempen gesa MP sokong RUU Anti Lompat Parti

Iklan
Chow Ying (tengah) semasa melancar kempen #TagYourMP dan #AntiHoppingNOW pada Jumaat.

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melancarkan kempen #TagYourMP dan #AntiHoppingNOW untuk menggesa ahli Parlimen mereka menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibentangkan pada 11 April ini.

Bendahari dan Pemangku Pengarah Eksekutif, Ngeow Chow Ying berkata, kempen itu juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran orang ramai berkaitan kepentingan RUU tersebut kepada negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, orang ramai boleh melibatkan diri dengan cara menciap di Twitter, membuat hantaran di Facebook dengan tag media sosial ahli Parlimen mereka.

"Selain itu, boleh juga menghantar e-mel kepada ahli Parlimen selain menyebarkan mesej atau idea kepada keluarga dan rakan-rakan untuk melakukan perkara yang sama.

Iklan

"Bersih juga ada menyediakan petisyen. Oleh itu, orang ramai boleh menandatangani petisyen ini,” katanya dalam satu sidang akhbar semasa majlis pelancaran kempen tersebut pada Sabtu.

Selain itu, Chow Ying berkata, Bersih akan menganjurkan forum dan acara lain untuk membincangkan kepentingan mekanisme anti lompat parti dan kepentingannya kepada orang ramai.

Iklan

"Kita perlu mempunyai undang-undang untuk menghentikan gejala lompat parti oleh wakil rakyat yang telah menggugat kestabilan kerajaan dan negara kita.

"Tanpa sebarang mekanisme anti lompat parti, rakyat akan terus kecewa dengan politik dan demokrasi kita. Berkemungkinan besar ramai yang tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” jelasnya.

Dalam masa sama, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, pengundi mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi kerana kecewa akan situasi lompat parti yang dilakukan oleh beberapa ahli politik.

"Jadi dengan kempen ini, kita harap Parlimen dapat bentang dan luluskan anti ini kerana kita percaya ini isu besar di mana rakyat rasa kecewa dalam politik lompat parti yang masih berlaku.

"Kalau kita tidak selesaikan masalah ini dengan undang-undang anti lompat parti, tidak mungkin rakyat akan keluar untuk membuang undi pada pilihan raya akan datang.

"Tetapi dengan undang-undang ini, saya percaya peratusan akan meningkat menjadikan 70 peratus akan keluar mengundi pada PRU15,” ujarnya.

Namun begitu, katanya, sekiranya ia tidak diluluskan, ia menjadikan sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara tidak digunakan dengan betul dan peratusan keluar mengundi akan berkurangan.

Dalam masa sama, menurut beliau, Bersih juga telah memulakan petisyen di Change.Org untuk mendesak RUU Anti Lompat Parti dan telah mendapat sokongan lebih daripada 40,000 rakyat.

"Ayuh tag ahli Parlimen anda di media sosial dan tuntut mereka untuk menyokong RUU Anti Lompat Parti pada 11 April ini. Semua diseru untuk mendesak dan ayuh kita buat perubahan bersama,” katanya.