PUTRAJAYA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menafikan terdapat kartel atau campur tangan pihak luar bagi menentukan jawatan tertentu dalam kepimpinan pasukan itu.
"Pada pandangan saya, isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak wujud kerana sekiranya ia wujud, kita akan lihat sekelompok individu yang berada di depan.
Iklan
Iklan
"Tapi, apa yang pastinya penempatan pegawai dan anggota adalah melalui langkah dan tapisan daripada peringkat kontinjen, jabatan pengurusan sebelum kepada saya (Ketua Polis Negara) dan akan dikemukakan ke Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk keputusan akhir," katanya selepas Majlis Apresiasi EAIC Bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Jumaat.
Menurutnya, tapisan ketat dibuat dan agak sukar untuk melihat berlakunya seperti yang dikatakan kartel.
Acryl Sani berkata, beliau tidak melihat perkara itu dan sekiranya ada campur tangan luar akan mengakibatkan susunan pegawai kanan menjadi tidak teratur.
"Perkara ini tidak berlaku seperti mana yang digambarkan," katanya.
28 Februari lalu, Barisan Pesuruhjaya EAIC sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel ini kerana dalam rakaman percakapan dengan EAIC, beliau gagal mengemukakan sebarang bukti bagi mengukuhkan dakwaan itu.