'Beri isyarat kepada dunia, Malaysia sudah buka untuk perniagaan'

Iklan
Muhyiddin - Foto Bernama

SHAH ALAM – Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpendapat pembukaan sempadan pada Jumaat amat penting dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, perkara itu bukan sahaja bagi sektor perdagangan malah sektor pelancongan negara akan turut menikmati manfaat perjalanan masuk warganegara asing ke Malaysia.

Iklan
Iklan

"Ini adalah langkah ke hadapan dan memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia sudah dibuka untuk perniagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, proses keluar masuk terutama di pintu masuk darat Johor-Singapura juga telah dipermudah dan akan memberi faedah kepada lebih 300,000 warga Johor yang berulang-alik sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Iklan

"Ramai yang terjejas akibat penutupan sempadan negara dan ada juga yang tidak dapat pulang ke tanah air sejak pandemik melanda seluruh dunia.

"Selamat kembali ke tanah air dan saya berharap anda semua dapat memanfaatkan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.

Iklan

Menurut Muhyiddin, pembukaan ini amat dinanti-nantikan kerana rakyat Malaysia dapat kembali menjalani ibadah berpuasa bersama ahli keluarga masing-masing.

"Hari ini juga merupakan hari pertama peralihan ke fasa endemik yang mana sekatan-sekatan bagi mengekang penularan Covid-19 telah dilonggarkan.

"Peralihan ke fasa endemik ini dapat dilakukan setelah semua negeri di Malaysia berjaya beralih secara selamat dan teratur ke fasa empat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.