'Syukur, saf kembali rapat'

Iklan
Jemaah mengaminkan doa selepas menunaikan solat Jumaat dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula hari ini, semasa tinjauan di Masjid Kampung Gong Tok Nasek. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR- Imam solat di masjid-masjid di seluruh negara hari ini kembali kepada amalan biasa, mengingatkan para jemaah untuk merapatkan saf sebelum solat Jumaat bermula, susulan negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula hari ini.

Umat Islam dibenar merapatkan saf setelah lebih dua tahun mereka menunaikan solat dengan jarak fizikal, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun tinjauan Bernama di Masjid Khalid Bin Al-Walid di sini mendapati, masih terdapat jemaah yang menghampar sejadah sedikit jarak daripada jemaah lain, mungkin kerana terbiasa selepas dua tahun melalui suasana penjarakan fizikal ketika solat berjemaah.

Para jemaah hanya benar-benar merapatkan saf masing-masing, apabila diingatkan imam masjid itu berkenaan untuk berbuat demikian, dengan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka.

Iklan

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 April aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Di PUTRAJAYA, umat Islam yang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan dan penduduk setempat mendirikan solat Jumaat berjemaah dengan saf dirapatkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini dengan diimamkan Ustaz Rodhi Abd Ghani.

Para jemaah mula hadir di masjid berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat, dan turut kedengaran peringatan dibuat pihak pengurusan masjid kepada jemaah yang hadir untuk terus mematuhi SOP solat berjemaah secara berkala.

Iklan

Terdahulu ketika ditemui Bernama di sini hari ini, Rodhi menyifatkan kebenaran rapat saf bagi solat berjemaah merupakan suatu berita yang dinanti-nantikan umat Islam negara ini.

Di MELAKA, solat Jumaat di Masjid An-Naim, Durian Tunggal di Alor Gajah, ratusan jemaah mula hadir ke masjid berkenaan seawal pukul 12.30 tengah hari, dengan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka selain membawa sejadah sendiri disusuli dengan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal satu meter.

Di KELANTAN, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Tengku Razaleigh, Gua Musang, hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berkata masjid perlu diangkat sebagai sebuah institusi penting dalam masyarakat, kerana ia didirikan merentasi kefahaman dan ideologi pemikiran tertentu.

"Pihak jawatankuasa masjid perlu merancang dan melaksanakan program yang boleh membantu meningkatkan semangat ukhwah islamiyah dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Masjid Razaleigh kepada MAIK, di sini hari ini.

Di TERENGGANU, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri M Rozi Bidin berkata sejak semalam semua ahli jawatankuasa di 509 masjid dan 1,546 surau di negeri itu telah membuat persediaan untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu tanpa penjarakan fizikal.

Seorang jemaah solat Jumaat Kamaruddin Azizan, 45, ketika ditemui Bernama di Masjid Seberang Takir di Kuala Nerus menzahirkan rasa syukur dan sebak kerana selepas dua tahun akhirnya dia dapat menunaikan solat dengan saf rapat.

Jemaah memenuhi ruang solat untuk menunaikan solat Jumaat tanpa perlu penjarakan fizikal berikutan kerajaan mengumumkan fasa peralihan ke endemik di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. - Foto Bernama

Di PULAU PINANG, tinjauan Bernama di Masjid Al-Mustaghfirin di Sungai Tiram mendapati jemaah menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal dengan mengikut SOP yang ditetapkan dan mereka melahirkan rasa syukur kerana lebih ramai dapat solat berjemaah bermula hari ini.

Seorang jemaah, Mohd Jalil Abdul Rahman, 55, berkata kehadiran orang ramai untuk solat Jumaat hari ini lebih ramai berbanding sebelum ini, kerana jemaah tidak perlu lagi mengikut penjarakan fizikal dan boleh merapatkan saf.

Di PERAK, sebahagian jemaah menunaikan solat Jumaat secara rapat saf di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini dan telah memenuhi segenap ruang di dalam dan luar masjid seawal waktu lagi, dalam suasana pematuhan SOP yang ditetapkan, selain imam masjid memesan jemaah merapatkan saf.

Di PAHANG, Imam Masjid Tepian Putra, Kuantan Mohd Zulkarnain Shamsudin berkata jemaah masih digalakkan membawa sejadah sendiri untuk menunaikan solat, selain mengenakan pelitup muka, meskipun kelonggaran merapatkan sejadah tanpa sentuhan fizikal telah diberikan.

Di PERLIS, seorang jemaah di Masjid Nurul Naim Felcra Lubuk Sireh, di sini, Khairil Azrizal Bahari, 40, ketika ditemui berkata setelah dua tahun negara dilanda Covid-19, beliau kini berpeluang membawa anaknya ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat setelah anaknya Muhamad Nabil Akalil, 12, sering bertanyakan untuk solat Jumaat di masjid.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata kira-kira 1,500 jemaah membanjiri perkarangan masjid sejak pukul 12.30 tengah hari tadi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakkan fizikal di Masjid Negeri, Seremban.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri mendapati, umat Islam mula memenuhi masjid itu sekitar jam 12.30 bagi menunaikan solat Jumaat secara berjemaah dengan saf dirapatkan hari ini.

"Alhamdulillah bulan April kita mulakan dengan perkara yang baik. Sudah lama tidak merasa sembahyang dengan orang ramai memenuhi ruang masjid namun masih dalam SOP yang digariskan,” kata pesara kerajaan Samad Mahat, 70, ketika ditemui Bernama.

Di KEDAH, seorang jemaah di Masjid Al Bukhary, Alor Setar, Hasanudin Ishak, 56, berkata kebenaran merapatkan saf itu memberikan kelonggaran kepada jemaah, sekali gus menjadikan ruang solat yang lebih luas kepada jemaah yang hadir.

Di SABAH, tinjauan di beberapa masjid negeri ini di Kota Kinabalu antaranya Masjid Negeri Sabah dan Masjid At-Taqwa, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini mendapati solat Jumaat dilaksanakan menerusi SOP terbaharu ditetapkan. - Bernama