Syarikat penerbangan pastikan pengembara isi MySejahtera, peroleh kad

Iklan
Penumpang dari Jakarta tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia2) pada Jumaat. - Foto Bernama

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Syarikat penerbangan diminta untuk memastikan pengembara mengisi MySejahtera dan memperoleh kad pengembara sebelum berlepas ke Malaysia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan terus meningkatkan komunikasi dengan syarikat penerbangan bagi tujuan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita dapat lihat, mereka keluar dari pesawat terus ke kaunter Imigresen sebelum keluar," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pengoperasian hari pertama pembukaan semula sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), pada Jumaat.

Menurutnya, rata-rata pengembara yang ditemui memaklumkan mereka tidak berdepan dengan sebarang masalah berhubung protokol tersebut.

Iklan

"Ini telah banyak membantu dan sebab itu kita tidak nampak apa-apa kesesakan berlaku di Klia2 dan pintu masuk antarabangsa yang lain," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan kelancaran pembukaan semula sempadan negara.

Iklan

"Kita lihat hari ini semuanya berjalan dengan lancar dan secara keseluruhannya KKM berpuas hati," katanya.

Khairy berkata, seramai 346 anggota di 75 pintu masuk antarabangsa ditempatkan bagi membantu pengembara sekiranya mempunyai masalah.

"Di KLIA dan Klia2, jumlah keseluruhan anggota kesihatan yang ditugaskan ialah 250 orang," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, kestabilan politik dan pimpinan kerajaan banyak membantu negara dalam merealisasikan pembukaan semula sempadan.

Ujarnya, menteri-menteri di dalam jawatankuasa kuartet terlebih dahulu telah diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat persiapan.

"Sudah beberapa bulan kita buat persiapan dan pembukaan semula sempadan adalah pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara," katanya.