KUALA LUMPUR- Aktiviti sukan dan rekreasi kini boleh dilaksanakan sepenuhnya tanpa terikat kepada had tertentu selaras dengan fasa peralihan endemik bermula hari ini, menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan kementerian berkenaan, beliau berkata meskipun dibuka sepenuhnya, sektor sukan dan rekreasi masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Iklan
Iklan
Beliau berkata antara kemudahan baharu di bawah sektor sukan dan rekreasi termasuk tiada had kapasiti penyertaan bagi melakukan aktiviti berkumpulan dan penganjuran sebarang pertandingan mahupun acara sukan dan rekreasi.
"Ia bagaimanapun tertakluk kepada kemampuan mengekalkan penjarakan fizikal sebelum dan selepas aktiviti atau acara diadakan," katanya.
Sementara itu kemudahan baharu turut melibatkan tiada had kapasiti kehadiran penonton ke venue sukan dan rekreasi, tertakluk kepada penjarakan fizikal yang munasabah mengikut ruang tempat duduk.
Ahmad Faizal berkata pembukaan sektor sukan dan rekreasi ini bagaimanapun terhad bagi individu yang telah melengkapkan vaksinasi serta individu yang sekurang-kurangnya telah melengkapkan vaksinasi dos primer.
"Bagaimanapun bagi pengembara daripada luar negara yang akan memasuki Malaysia, mereka perlu mengikut SOP ditetapkan iaitu hanya pengembara yang telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan menikmati kemudahan di bawah sektor sukan dan rekreasi.
"Orang ramai juga boleh merujuk kepada garis panduan #ReopeningSafely berkaitan aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah bagi tujuan mengenal pasti dan penilaian risiko," katanya. - Bernama