IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak melakukan siasatan berhubung kematian seorang pekerja kilang yang ditemukan dengan kesan kecederaan parah di belakang leher pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 6.50 petang di sebuah kilang pengumpulan bahan kitar semula di Menglembu itu, warga Bangladesh, Yousuf Abu, 34, ditemui rakan sekerjanya berhampiran mesin pemampat.
Pengarah JKKP Perak, Supian Alias berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa menjalankan kerja menyusun bongkahan mampatan kertas kitar semula menggunakan 'forklift'.
"Mangsa juga memeriksa pengoperasian mesin pemampat kertas yang sedang beroperasi secara automatik.
"Mangsa kemudiannya telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran mesin tersebut dengan kecederaan parah di belakang leher oleh rakan sekerjanya. Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, sebanyak lima notis larangan telah dikeluarkan kepada pihak majikan berkaitan pengoperasian mesin pemampat tersebut.
"JKKP juga telah mengarahkan supaya aktiviti kerja melibatkan mesin pemampat tersebut dihentikan serta-merta sehingga notis dipatuhi oleh pihak majikan.
"JKKP akan mengambil tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.
Supian berkata, majikan perlu bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.
"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.
"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.