Sarawak bincang pembukaan semula sempadan darat dengan Indonesia

Iklan
Uggah (tengah) meninjau Simulasi Persediaan Pembukaan Sempadan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuching, hari ini. Foto Bernama

KUCHING - Sarawak akan mengadakan perbincangan dengan Konsulat Jeneral Indonesia di sini pada Isnin depan berhubung pembukaan semula sempadan darat negeri itu dengan republik tersebut.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, negeri itu akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) mereka pada mesyuarat tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, cadangan SOP itu perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak sebelum dimuktamad dan dilaksanakan.

"Kita akan bincang dengan Indonesia, kita ada dua kategori pengembara iaitu pertama pelancong dan kedua, individu yang sering berulang-alik dalam bentuk pengangkut yang membawa barang.

Iklan

"Itu adalah hala tuju perbincangan kita dengan Indonesia, (kita juga ingin) membolehkan perdagangan di kawasan Tebedu dan Biawak (yang bersempadan dengan Indonesia) dimulakan. Terdapat banyak aktiviti perdagangan di situ sebelum ini (pra-Covid-19),” katanya.

Uggah berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada hari pertama pembukaan semula sempadan di sini hari ini.

Iklan

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula mulai 1 April selaras dengan rancangan negara untuk memasuki tempoh peralihan kepada fasa endemik Covid-19.

Uggah berkata, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tebedu telah dibuka semula mulai hari ini meskipun SOP dengan Indonesia belum dimuktamad.

Beliau juga berkata sempadan dengan Brunei akan kekal ditutup sebahagian dan dibuka semula pada 15 April. - Bernama