KEGAGALAN Perak FC melunaskan baki tunggakan gaji pemain pada tarikh yang ditetapkan menyaksikan skuad The Bos Gaurus itu dikenakan tindakan pemotongan tiga mata serta merta berkuat kuasa 1 April 2022.
Tindakan pemotongan mata itu diumumkan oleh Pengerusi First Instance Body (FIB) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif setelah bermesyuarat pada Jumaat.
Menurut Sheikh Mohd Nasir, tindakan pemotongan mata itu terpaksa dibuat apabila kelab berkenaan gagal mematuhi tarikh akhir pembayaran pertama yang telah ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac lalu.
"Pihak pengurusan Perak FC sebelum ini bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu berjumlah RM 934,729.42 membabitkan pemain dan pegawai pasukan utama dan 'reserve team' pada 31 Mac 2022. Namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.
"Oleh itu, pihak, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak FC.
"Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April ini) maka pada 15 April, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam mata termasuk pengurangan dana" katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Sheikh Mohd Nasir, sebelum ini, MFL sudah pun menghantar pekeliling kepada Perak FC pada 15 November 2021 ekoran gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pertama dan pasukan simpanan (reserve team).
Katanya, Perak FC ketika itu turut diminta untuk menyerahkan akuan bersumpah (SD) berhubung semua bayaran bagi tunggakan berkenaan dan pada 15 Disember 2021, Perak FC sudah pun memuat naik SD ke sistem AFC Clas.
"Perak FC kemudiannya menghantar e-mel mengenai jumlah tunggakan pembayaran gaji sehingga November 2021 membabitkan pemain dan pegawai, LHDN, KWSP dan Perkeso pada 11 Januari 2022.
"Pada 9 Mac 2022, MFL turut menghantar surat kepada Perak FC berhubung arahan agar bayaran tunggakan pemain dan pegawai bagi pasukan utama dan 'reserve team' dapat dilunaskan sebelum 31 Mac 2022 bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.
"Bagaimanapun, sekiranya, Perak FC masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji tersebut sebelum atau pada 21 April ini, maka pada 22 April pula MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut,” katanya.