Sukan SEA: Sasaran awal 31 pingat emas di Hanoi

Iklan
Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Datuk Nur Azmi Ahmad percaya barisan atlet negara mampu meraih lebih banyak pingat emas berbanding sasaran awal yang telah ditetapkan.

Nur Azmi berkata, sasaran awal 31 pingat emas ditetapkan sebelum ini dilihat memadai, namun beliau secara peribadi merasakan jumlah itu boleh bertambah.

Iklan
Iklan

Katanya, jumlah muktamad hanya akan diketahui selepas beliau mengadakan pertemuan bersama pengurus pasukan dan jurulatih pada bengkel penetapan sasaran akhir yang dijadual pada 13 April ini.

"Mungkin lebih (sasaran pingat emas), kita akan buat bengkel dan di situ kita akan muktamadkan. Bagi saya 31 pingat emas itu okey tetapi kalau ikutkan perbelanjaan dikeluarkan ia tidak cukup,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan SEA kali ke-31 di sini, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan media berhubung kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker mengenai sasaran awal kontinjen Malaysia di Hanoi pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Menurut Lian Ker, berdasarkan perkembangan semasa dan perbandingan prestasi semasa atlet bagi temasya sukan dwitahunan itu, sasaran awal yang ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan adalah 79 pingat secara keseluruhan merangkumi 31 bagi pingat emas, 19 perak dan 29 gangsa.

Iklan

Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

Sebagai rekod, kontinjen negara ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina menamatkan kempen temasya dengan prestasi memalukan apabila sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa, jauh tersasar berbanding sasaran 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.

Ia menyaksikan Malaysia menduduki tangga kelima keseluruhan berbanding sasaran tempat keempat. Tuan rumah, Filipina dinobatkan juara diikuti Vietnam (kedua), Thailand (ketiga) dan Indonesia keempat.

Sementara itu, Nur Azmi berkata, Sukan SEA Hanoi menjadi antara medan kepada barisan atlet negara untuk melayakkan diri ke dua temasya sukan lebih besar selepas ini iaitu Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula Julai ini dan Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadual pada September.

"Bagi saya ini juga adalah garis panduan persatuan sukan untuk layak dalam kategori A ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia selain Sukan SEA akan datang, ini (Sukan SEA Hanoi) adalah KPI (Indeks Prestasi Utama),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini Malaysia adalah kontinjen keempat terbesar di Hanoi dengan jumlah keseluruhan 883 orang terdiri daripada 604 atlet dan 279 pegawai. - Bernama