SEREMBAN - Bagi membantu mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan banduan di negara ini, Penjara Seremban menjadi perintis kepada Program Literasi 3M (Membaca, Menulis dan Mengeja) selama 20 hari sejak 7 Mac lepas.
Pengarah Penjara Negeri Sembilan Penolong Kanan Komisioner (PKK) Abd Rahman Taib berkata, program dengan kerjasama syarikat perusahaan sosial iSina Edutech Sdn Bhd itu turut bertujuan membantu golongan itu daripada ketinggalan dalam masyarakat dan meninggalkan dunia jenayah.
"Mereka juga diharap dapat mengecapi kehidupan yang lebih berilmu pada masa hadapan melalui modul pembelajaran yang disediakan.
"Usaha ini dilakukan supaya semua 113 banduan terpilih yang berada di sini mendapat peluang pekerjaan yang baik serta menyesuaikan diri dalam masyarakat apabila dibebaskan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program berkenaan di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, mereka yang berpotensi pada sesi pertama dilatih sebagai tenaga pengajar untuk menjadi pembimbing rakan sebaya yang akan mengajar banduan lain.
"Program pada hari ini juga telah pun dinilai dengan peratusan banduan berjaya menguasai 3M seramai 105 orang manakala lapan lagi tidak berjaya disebabkan faktor tertentu namun mereka akan terus dibimbing oleh rakan yang telah berjaya," katanya.
Dalam pada itu, banduan terlibat yang dikenali sebagai Fuad, 28, berkata, hanya bersekolah sehingga darjah enam sahaja dan pada ketika itu dia masih tidak mampu membaca.
"Saya masuk penjara sejak umur 18 tahun dan baru setahun ditempatkan di Penjara Seremban. Di sini saya diberi peluang menyertai Program Literasi Membaca 3M dan syukur dalam tempoh 20 hari saya sudah boleh membaca dengan lancar," katanya.
Selain itu, Mohd, 56, pula berkata, mengakui tidak boleh membaca langsung sebelum ini dan kemahiran 3M yang diperoleh melalui program tersebut adalah antara kejayaan terbesar dalam hidupnya.
"Saya berasa lega malah gembira apabila diberi peluang untuk belajar seperti ini, sekali gus memberi manfaat kepada saya selepas keluar daripada penjara kelak," katanya. - Bernama