MENTERI Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya membantu melunaskan tunggakan pembayaran gaji pemain Perak FC.
Beliau berkata, walaupun pihaknya ada menerima permohonan daripada pengurusan Perak FC untuk mendapatkan sebanyak RM2 juta bagi tujuan tersebut, namun kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan gaji pemain skuad The Bos Gaurus.
"Saya minta mereka selesaikan ikut saluran yang betul, saya minta maaf bukan saya tidak mahu masuk campur atau tidak berminat dengan bola sepak atau sukan.
"Saya perlu berlaku adil kepada lain-lain persatuan sukan dan juga rakyat di negeri ini. Sekiranya RM2 juta itu kalau saya berbelanja RM200 untuk ketua isi rumah miskin (KIR), berapa ribu KIR saya boleh bantu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 kepada 58 kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Saarani berharap, keputusannya itu dapat diterima dan difahami oleh pihak pengurusan serta peminat bola sepak negeri ini.
"Saya minta maaf, ia bukan bermakna saya tidak bersimpati tetapi saya ada tanggungjawab lain yang lebih besar. Saya bersimpati tapi saya kena berlaku adil pada golongan lain juga termasuk KIR miskin, lagi-lagi bulan Ramadan ini,” katanya.
Media melaporkan jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berharap, isu gaji yang dihadapi pasukannya dapat diselesaikan dengan kadar segera, kerana beliau tidak sanggup memikirkan masalah yang dihadapi pasukan berkenaan lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.
Presiden Gabungan Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak Syamsul Bahrin Putra Ahmad Shibi, mahu Menteri Besar Perak campur tangan berhubung permasalahan tunggakan gaji yang berlaku dalam Perak FC. - Bernama