Dua maut, tiga parah Kancil dinaiki terlibat nahas

Iklan
Keadaan kenderaan jenis Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lagi kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Tagasan Tawau-Semporna.

SEMPORNA - Dua maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan manakala tiga lagi parah dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tagasan Tawau-Semporna, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang maut melibatkan wanita berusia 40-an dan kanak-kanak dua tahun manakala tiga lagi yang parah membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 40-an.

Iklan
Iklan

Semua mangsa yang belum diketahui identiti itu tersepit dalam kenderaan jenis Perodua Kancil yang mereka naiki dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.29 petang.

Iklan

Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak 13 kilometer dari BBP Semporna.

"Menurut laporan kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu jenis Perodua Kancil, Toyota Hilux dan sebuah lori.

Iklan

"Terdapat lima mangsa terlibat dilaporkan tersepit dalam Perodua Kancil dan usaha mengeluarkan mangsa segera dilakukan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas untuk menyelamat," katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua mangsa yang tersepit kemudian berjaya dikeluarkan dari dalam kenderaan terbabit.

"Dua mangsa meninggal dunia selepas disahkan oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Tiga lagi mangsa mengalami cedera parah di hantar ke Hospital Semporna menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans," katanya.

Edoen berkata, operasi ditamatkan pada jam 5.14 petang selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan lokasi kejadian selamat.