KETUA jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad menjelaskan keputusan menyenaraikan ramai pemain muda bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA bukan memandang rendah kemampuan dimiliki pemain senior.
Sebaliknya, Abdul Talib memberitahu penyertaan para pemain muda ke temasya dwi tahunan itu adalah untuk memberi pendedahan selepas tidak beraksi selama dua tahun dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.
Katanya, ia penting dalam memastikan kesinambungan antara pemain senior dan junior dapat diteruskan dalam pasukan kebangsaan ketika ini.
"Bila dilanda pandemik Covid-19 tiada pertandingan antarabangsa untuk kita bagi kepada para pemain muda yang ada dalam skuad kebangsaan.
"Jadi bila tahun ini ada dua kejuaraan besar, kita telah putuskan untuk satu kejohanan kita bagi kepada pemain muda iaitu Sukan SEA.
"Kalau kita tidak bagi pendedahan kepada para pemain muda ini kita takut nanti tiada kesinambungan antara pemain senior dan junior yang ada dalam pasukan kebangsaan ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, dalam senarai 12 pemain ke Sukan SEA pada bulan depan, beberapa nama besar seperti Zulkifli Abdul Razak dan Mohammad Syahir Rosdi tidak disenaraikan Abdul Talib.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kemampuan para pemain yang disenaraikan, beliau percaya mereka mampu untuk membawa pulang pingat buat negara.
"Bila kita pertaruhkan pemain-pemain baharu bukan mudah untuk mendapatkan keserasian. Tetapi bagi saya apa yang penting ketika ini adalah mereka perlu memberi tumpuan kepada mutu permainan.
"Saya yakin para pemain muda ini tidak akan berdepan masalah untuk dapatkan pingat tetapi tidak boleh dijanjikan warna pingat. Kalau dapat emas ia bonus buat kami,” katanya.