Maritim, penduduk bergabung cuci masjid sempena Ramadan

Iklan
Anggota Maritim Malaysia bersama agensi berkaitan dan penduduk bergotong-royong membersihkan Masjid Al-Taufidiah Kampung Menteri, Kuala Sepetang.

TAIPING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kurau bersama penduduk Kampung Menteri, Kuala Sepetang, di sini mengambil inisiatif membersihkan Masjid Al-Taufidiah sempena bulan Ramadan.

Program gotong-royong yang melibatkan seramai 70 orang itu turut disertai pasukan Sukarelawan Bomba Kuala Sepetang, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Jebong serta Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Majmuk Daerah Larut, Matang dan Selama.

Iklan
Iklan

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Mohd Shazeliza Ghazali berkata, penglibatan Maritim di dalam aktiviti gotong-royong tersebut sebagai merapatkan hubungan di antara agensi dengan komuniti.

Menurutnya, seramai 47 anggota Zon Maritim Kuala Kurau terlibat dalam aktiviti itu membantu masyarakat membersihkan masjid.

Iklan

"Penglibatan Maritim Malaysia di dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini bertujuan merapatkan silaturahim di antara agensi ini dan masyarakat setempat, selain mendengar segala keluhan dan permasalahan komuniti maritim setempat ketika melakukan aktiviti perikanan.

"Maritim Malaysia sentiasa memberikan komitmen terhadap aktiviti bersama-sama masyarakat termasuklah program gotong-royong seumpama ini," katanya mengulas mengenai Program Gotong-Royong Mencuci dan Membersihkan Masjid Al-Taufidiah Kampung Menteri, Kuala Sepetang di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Penaung Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Masyarakat Majmuk Daerah Larut Matang dan Selama, Tun Ahmad Latifi Mohd Ibrahim berkata, program berkenaan dianjurkan bertujuan memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, aktiviti yang dijalankan di masjid itu juga menyemarakkan semangat masyarakat Islam setempat untuk menyambut bulan Ramadan.

Bagi Ketua Kampung Mukim Jebong, Harun Arshad, program seumpama itu amat dialu-alukan dengan penglibatan bersama agensi kerajaan.

Jelasnya, aktiviti melibatkan pelbagai agensi itu perlu diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kesinambungan kerjasama yang berterusan.