Najis tikus, lipas dalam kilang proses produk soya

Iklan
Terdapat sarang lipas di dalam tempat penyimpanan kacang soya di premis yang terletak di Batu Lanchang. (Gambar kecil: Tikus dijumpai di tempat penyimpanan bahan kering di kilang memproses kacang soya.)

GEORGETOWN- Najis tikus di atas meja tempat meletak produk antara kesalahan yang ditemui oleh sepasukan penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika menyerbu sebuah kilang memproses produk berasaskan soya di Batu Lanchang di sini.

Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, pihak penguatkuasa menemui haiwan perosak itu di stor tempat penyimpanan bahan kering di premis berkenaan.

Iklan
Iklan

Selain itu, beberapa buah mesin memproses kacang soya juga didapati berkarat dan berlendir dipercayai tidak diselenggara dengan baik.

Lebih memualkan, pemeriksaan juga mendapati, kedudukan tandas yang tidak berpintu di premis itu terletak berhampiran dengan kawasan pemprosesan produk makanan berkenaan.

Iklan

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, pemeriksaan selanjutnya mendapati, premis yang beroperasi lebih 10 tahun itu juga tidak mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan antaranya menyidai pakaian pekerja di tepi mesin memproses produk makanan tersebut.

"Premis ini pernah diperiksa dua tahun lalu dan pernah dikompaun kerana tahap kebersihan tidak memuaskan. Hasil intipan dan pemantauan, kita menjalankan serbuan mengejut pada hari ini.

Iklan

"Selepas pemeriksaan dijalankan, kita mendapati tahap kebersihan masih tidak memuaskan. Apabila kita memeriksa tempat penyimpanan kacang soya, kita menjumpai sarang lipas di bahagian bawah," katanya ketika ditemui selepas menjalankan Ops Tegar Siri 2 di sini pada Sabtu.

Mohd Wazir menunjukkan najis tikus yang ditemui di atas meja yang digunakan untuk meletak produk akhir di premis yang diperiksa.

Mohd Wazir berkata, dengan kehadiran tikus, ia dibimbangi berlaku jangkitan kencing tikus pada produk akhir makanan berkenaan.

Katanya lagi, baldi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan produk soya juga diletakkan di dalam tandas dalam keadaan menjijikkan.

"Perkakas yang digunakan untuk memproses produk juga didapati tidak mematuhi standard yang ditetapkan antaranya terdapat fungus pada tempat pencedok kacang soya. Di premis yang sempit ini juga terdapat dua buah bilik pekerja asing yang mana, selain bekerja, mereka juga tinggal di sini. Ini bermakna, mereka makan, tidur dan memasak di tempat memproses produk kacang soya ini.

"Ia sememangnya satu kesalahan kerana pemilik premis mengabaikan aspek kebersihan dalam menjalankan operasi memproses bahan makanan. Oleh demikian, kita mengeluarkan tiga notis termasuk notis penutupan terhadap premis ini.

"Kita juga mengeluarkan kompaun berjumlah RM5,500 kerana tidak mematuhi standard dan piawaian kebersihan yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, pemilik kilang memberi alasan bahawa dia tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan tidak dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kilang tersebut yang mempunyai tiga pekerja termasuk dua warga asing.

Dalam perkembangan lain, Mohd Wazir berkata, sebuah kilang pembuatan mi dan kuetiau di Jalan Perak juga diarahkan ditutup selama 14 hari selepas didapati tahap kebersihan premis tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

"Kilang ini juga kita dapati peralatan untuk menghasilkan mi dan kuetiau dipenuhi habuk selain lendiran dipercayai tidak dicuci dengan baik selepas digunakan.

"Mesin memproses produk makanan itu juga didapati tidak dibersihkan dengan baik apabila terdapat kesan minyak lama. Oleh demikian, kita mengeluarkan kompaun RM5,500 kepada pemilik premis tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, kedua-dua premis tersebut tidak mengamalkan aspek kebersihan mengikut piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).