GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan amaran situasi air di negeri ini apabila kapasiti Empangan Air Itam direkodkan rendah dengan peratusan 38.5 peratus pada Khamis lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, selain Empangan Air Itam, kapasiti efektif di dua lagi empangan di negeri ini sehingga Khamis lalu adalah 73.5 peratus bagi Empangan Teluk Bahang dan 91.4 peratus bagi Empangan Mengkuang.
"Bagi Empangan Air Itam, kapasiti efektif pada Khamis adalah 38.5 peratus berbanding 89.3 peratus pada 1 Januari lalu. Sejak Januari, kapasiti efektif empangan ini telah susut sebanyak 50.8 peratus kepada tahap amaran 38.5 peratus. Ia berpunca daripada jumlah hujan rendah di kawasan tadahan air (KTA) empangan ini.
"PBAPP merekodkan taburan hujan yang luar biasa rendah iaitu sebanyak 250 milimeter (mm) di KTA Empangan Air Itam. Sebagai perbandingan, jumlah hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 366mm manakala hujan di KTA Empangan Mengkuang berjumlah 1,128mm. Punca kedua adalah permintaan air harian yang tinggi di perbandaran Air Itam dan kawasan sekitarnya.
"Sehubungan itu, PBAPP memohon kerjasama pengguna air Pulau Pinang untuk menggunakan air secara berhemat pada April dan Mei ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jaseni berkata, satu-satunya cara untuk menambah simpanan Empangan Air Itam adalah dengan menunggu hujan bermusim atau menghasilkan hujan melalui pembenihan awan.
"PBAPP merekodkan penggunaan air yang tinggi secara konsisten sejak tiga bulan lalu selain berusaha untuk melaksanakan kawalan cuaca kering untuk mempertahan kapasiti efektif empangan Pulau Pinang. Pada 31 Mac lalu, penggunaan air bermeter adalah hampir 900 juta liter sehari (JLH), berbanding purata 860 JLH pada tahun 2021.
"Air terawat yang dipam dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke Kolam Air Bukit Dumbar di bahagian pulau setiap hari (melalui 3 set saluran paip dasar laut berkembar) digunakan dengan pantas. Permintaan air di kawasan selatan bahagian Pulau agak tinggi dengan ketara," katanya.
Jaseni berkata, selain itu, paras kolam air terawat Bukit Dumbar juga adalah rendah.
"Oleh kerana paras air terawat adalah rendah, PBAPP tidak boleh mengepam air pada tekanan yang mencukupi ke semua kawasan hujung paip agihan (HPA) dan kawasan tanah lebih tinggi.
"Pam air akan terhenti secara automatik dan mungkin rosak," katanya.
Tambahnya, PBAPP mempertingkatkan pengeluaran air terawat di semua sembilan loji rawatan air di Pulau Pinang untuk memenuhi permintaan air yang tinggi setiap hari.
"Buat masa ini, pengguna air dinasihatkan untuk menggunakan air dengan berhemat sehingga musim antara monsun pada bulan April/Mei membawa hujan ke KTA empangan.
"Elak menggunakan hos secara tidak perlu untuk mencuci kenderaan, menyiram tanaman, taman atau membersihkan rumah atau kawasan rumah anda," katanya.