PENGENDALI Everton, Frank Lampard berharap kesebelasan The Toffees yang bakal diturunkan berdepan West Ham dapat memberikan aksi terbaik dalam usaha mencatatkan keputusan yang positif.
Menurut Lampard, masalah kecederaan beberapa pemain menyaksikan beberapa rombakan dilakukan bagi memastikan skuad kendaliannya itu mampu memberikan tentangan pada aksi berdepan The Hammers.
"Kita berharap pemain-pemain yang bakal beraksi dapat memberikan aksi terbaik kali ini dan seterusnya memastikan pasukan ini membawa pulang mata berharga.
"Lagi pun, pada peringkat ini, kedudukan Everton memang agak bahaya dan seboleh-bolehnya saya mahu memastikan perlawanan kali ini akan menghasilkan keputusan yang positif,” katanya.
Untuk rekod, Everton kini berada kedudukan ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 25 mata.
Malah, skuad The Toffees itu turut diekori rapat pasukan di tangga ke-18 Watford yang meraih 22 mata selain Burnley (19) dengan 21 mata.
Sementara itu, Lampard berharap agar Dominic Calvert-Lewin berada pada situasi terbaik untuk diturunkan berdepan West Ham.
Namun katanya, gandingan Calvert-Lewin, Fabian Delph pula dilaporkan kurang cergas dan tidak dapat diturunkan.
"Biarpun Calvert-Lewin disifatkan bersedia untuk beraksi, tetapi gandingan serasinya, Delph (Fabian) pula diberitakan kurang cergas dan tidak boleh beraksi.
"Apa pun, kita tetap mengharapkan barisan pemain yang diturunkan mampu beraksi dengan baik dan menghasilkan keputusan terbaik buat pasukan,” katanya.