Sokongan Indonesia tingkat peluang bahasa Melayu

Iklan
Kesepakatan Malaysia dan Indonesia untuk memperkasakan bahasa rumpun Melayu menambah peluang bagi menjadikannya sebagai bahasa rasmi ASEAN dan antarabangsa. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Kesepakatan Malaysia dan Indonesia untuk terus bersama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu menambah peluang bagi menjadikannya sebagai bahasa rasmi ASEAN dan antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, ini kerana bahasa Melayu yang mempunyai kira-kira 300 juta penutur, turut digunakan di Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar dan Timor Leste.

Iklan
Iklan

"Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu merupakan kesinambungan dan peningkatan usaha yang telah puluhan tahun dimulakan di peringkat serantau dan Indonesia yang memang menjadi sahabat seperjuangan sejak hampir 50 tahun lepas.

"Usaha penyatuan negara serantau ASEAN menerusi faktor bahasa besar ertinya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Semalam, Ismail Sabri dilapor berkata, Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan sebagai bahasa ASEAN satu hari nanti.

Ismail Sabri berkata, kedua negara sepakat menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di setiap persidangan antarabangsa.

Iklan

Dalam pada itu, Awang Sariyan berkata, untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, sokongan padu semua negara yang menggunakan atau memiliki penutur berbahasa Melayu amat diperlukan. - Bernama