BEKAS juara dunia Marc Marquez dijangka tidak akan kembali berlumba biarpun masalah penglihatan berganda (diplopia) yang dialaminya kembali pulih selepas ini.
Perkara itu didedahkan menerusi satu laporan daripada Motorcycle Sports yang melihat pelumba berusia 29 tahun kini mula 'memikirkan' mengenai masa depannya selaku seorang pelumba.
Malah, laporan tersebut turut mengatakan bahawa keputusan berkenaan sudah pun dibuat dan hanya menunggu pengumuman rasmi daripada Marquez dalam masa beberapa hari lagi.
"Setelah terbabas pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika Mac lalu, Marquez dilihat banyak menghabiskan masa bersendirian.
"Malah, dia juga mula bercakap mengenai masa depan sebagai seorang pelumba MotoGP.
"Secara tidak langsung, ia memberikan gambaran bahawa dia berkemungkinan besar mengumumkan persaraan dalam masa terdekat,” menurut laporan berkenaan.
Pada sesi pemanas badan di GP Indonesia Mac lalu, Marquez mengalami kemalangan dan menyebabkan pelumba pasukan Repsol Honda itu menarik diri dengan alasan tidak cergas untuk meneruskan perlumbaan berkenaan.
Untuk rekod, Marquez yang mula beraksi dalam Kejuaraan Dunia MotoGp mulai 2008 dalam kategori 125cc telah muncul juara dunia sebanyak lapan kali di mana enam daripadanya dalam kategori MotoGP bagi tempoh musim 2016 - 2019 lalu.
Sementara itu laporan berkenaan menambah, insiden di GP Indonesia itu merupakan kali kedua dialami Marquez sejak musim 2011 lalu.
"Mungkin masanya sudah tiba masa buat Marquez untuk bersara dan perkara (bersara) itu turut mendapat perakuan daripada para doktor yang merawatnya.
"Lagi pun, masalah diplopia itu boleh berulang dengan lebih kerap dan sekali gus mengundang risiko untuk Marquez mengalami kemalangan lagi pada masa akan datang,” katanya.