ALOR GAJAH - Tiada lagi kompromi terhadap peniaga di Melaka yang dikesan menaikkan harga barangan tanpa alasan munasabah, semata-mata untuk mengaut keuntungan khususnya sepanjang Ramadan ini.
Sebaliknya, Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, notis dan kompaun akan dikeluarkan kepada peniaga terbabit sebagai peringatan agar tidak melakukan kesalahan sama pada masa hadapan.
"Kita akui memang berlaku kenaikan barang dan faham peniaga turut terbeban kerana kos mereka juga meningkat, tetapi ia bukan alasan untuk mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.
"Bagi memastikan tidak berlaku situasi berkenaan, pemantauan akan dilakukan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), secara lebih kerap di premis jualan seperti pasar dan bazar ramadan serta pasar raya,” katanya selepas lawatan ke Karnival Jualan Keluarga Malaysia (KJKM) 'Mantai Ramadan' di Taman Melaka Perdana di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pengguna juga diminta untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan kenaikan harga barangan, agar tindakan lanjut boleh diambil kepada peniaga terlibat.
Hee Sem sebelum itu berkata, KJKM yang dilaksanakan sejak awal tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.
Menurut beliau, program berkenaan akan diteruskan mengikut permintaan dan keperluan penduduk di kawasan tertentu, dalam usaha membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Kebanyakan rakyat yang ditemui di karnival ini, berharap ia akan terus dianjurkan kerana dapat membeli barangan pada harga lebih murah, dan pada masa sama mereka boleh berjimat. Kita juga akan bawa lebih banyak peniaga dan pilihan barangan untuk pengguna,” katanya. - Bernama