KUALA LUMPUR - Kekuatan Op Benteng akan ditingkatkan dengan pertambahan anggota sekiranya perlu, susulan pembukaan sempadan negara bermula Jumaat.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui jalan tidak sah atau ‘jalan tikus’, dijangka meningkat susulan pembukaan sektor ekonomi dan peluang pekerjaan.
Iklan
Iklan
"Kita akan mengkaji trend trafik kemasukan pendatang tanpa izin ini terlebih dahulu dengan komander di lapangan dan melihat jika ada keperluan untuk menambah bilangan anggota di pusat kawalan sempadan yang sepatutnya.
"Pada masa ini Op Benteng juga dilaksanakan seperti biasa, tetapi dengan penguatkuasaan lebih ketat dan kukuh bagi menjamin keselamatan negara,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Perbarisan Tahunan Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi.
Katanya, setiap pegawai dan anggota unit kawalan di sempadan negara telah dimaklumkan untuk bersiap siaga dan meningkatkan kawalan.
"Peningkatan kemasukan ini kita sudah jangka di pihak Angkatan Tentera Malaysia pengawalan sempadan kita akan (terus) perketatkan, melihat kepada potensi mereka akan memasuki negara ini,” katanya. - Bernama