Pintar 2.0 bentuk jati diri murid

Iklan
Guru Besar SKKB, Suhaina Abdullah (berdiri, empat dari kiri) bersama murid-murid Sekolah Rendah Islam Kiblah Kota Bharu (SKKB) yang menyertai Program Intelek Asuhan Rohani 2.0 (Pintar 2.0). - Foto SKKB

KOTA BHARU - Sekolah Rendah Islam Kiblah Kota Bharu (SKKB) menjadi sekolah swasta pertama di negeri ini yang menyertai Program Intelek Asuhan Rohani 2.0 (Pintar 2.0).

Program anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu disertai oleh 53 murid Tahun Empat, Lima dan Enam sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

Guru Besar SKKB, Suhaina Abdullah berkata, program berkenaan bertujuan membentuk jati diri murid dan mengelak berlaku penyelewengan sosial termasuk penyalahgunaan bahan terlarang.

"Didikan pada peringkat awal sangat penting bagi membentuk jati diri yang kukuh. Kita mahu masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Iklan

"Program Pintar 2.0 adalah wajib untuk sekolah kerajaan seluruh Malaysia dan tahun ini, AADK Kota Bharu mengorak langkah ke hadapan dengan melibatkan sekolah swasta sertai program berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pintar 2.0 diadakan pada 26 Mac lalu di Dewan Utama SKKB dengan majlis penutup disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengelola SKKB, Datuk Dr Zaidi Zakaria. Hadir sama, Ketua Pegawai AADK Kota Bharu, Muhamad C Ismail.

Iklan

Kesemua 53 peserta yang menyertai program itu turut menerima sijil penyertaan.

Menurut Suhaina, modul Pintar sangat bagus dalam mendidik anak-anak terutama yang terdedah dengan gajet.

"Mereka memerlukan tunjuk ajar dalam menjadi insan berguna, anak yang bertanggungjawab menyayangi dan menghormati ibu bapa.

"Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan kerana bukan sahaja menyasarkan pembentukan jati diri murid kelas tercorot malah lebih terbuka kepada setiap peringkat," katanya.